KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya hari ini menafikan beliau menyokong perkahwinan antara perogol dan mangsa seperti dilaporkan sesetengah media.
Menurutnya, apa yang ditekankan ialah tiada undang-undang yang menghalang perkara itu daripada berlaku sahaja.
Bagaimanapun, bekas hakim mahkamah syariah itu kecewa apabila ada laporan media mengambil kenyataannya dari luar konteks di mana beliau sebenarnya menekankan tentang peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang sebarang perkahwinan dalam usia yang disebutkan.
“Saya amat kecewa dan terkejut dengan cara media massa yang melaporkan perbahasan saya secara tidak tepat seolah-seolah menggambarkan saya ini menggalakkan jenayah seksual dan menyokong perkahwinan perogol dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Shabudin berkata, semasa membahaskan usul menolak cadangan pindaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kulai untuk mengharamkan perkahwinan di bawah 16 tahun ke bawah beliau menjelaskan, kes jenayah rogol yang dilakukan itu masih tetap menjadi satu kesalahan jenayah dan terpulanglah kepada polis dan mahkamah menentukan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan oleh perogol tersebut.
“Tetapi dalam realiti masyarakat, terdapat banyak kes rogol yang diklasifikasikan rogol oleh undang-undang sebagai statutory rape tetapi atas dasar persetujuan bersama.
“Dalam menyelesaikan masalah tersebut keluarga cuba menutup malu dan tidak membuat laporan polis dan akhirnya membuat keputusan untuk mengahwinkan mereka.
“Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak wali tetapi perlu dapat kebenaran mahkamah syariah terlebih dahulu.
“Suka saya tegaskan, bahawa tidak ada apa-apa peruntukan undang-undang malah hukum syarak yang menghalang mereka daripada berkahwin,” katanya lagi.
Beliau berharap isu itu sepatutnya dilihat dari sudut positif contohnya tentang masa depan mangsa itu sendiri terutamanya bagi kes yang ‘mendapat kebenaran’ daripada keluarga.
“Pada masa yang sama, perkahwinan ini bukanlah back door exit untuk halalkan kesalahan rogol,” tegasnya.
Dari sudut pandangan agama, menurut Shabudin, pelaku seksual boleh mengahwini pasangan (mangsa rogol) sama ada selepas atau sebelum beliau menjalani apa-apa hukuman tanpa sekatan.
Namun, contoh yang dilaporkan oleh sesetengah media terutama The Star Online seperti yang ditularkan semalam dengan mengambil contoh gadis yang berusia sembilan dan 12 tahun terlalu ekstrem dan sebenarnya dalam masyarakat moden Islam sendiri sangat-sangat jarang berlaku.
Antara asas dalam hakim untuk membuat pertimbangan adalah berdasarkan kepada keadaan di mana seseorang itu telah akil baligh, katanya.
“Pokoknya, contoh umur yang saya nyatakan dalam perbahasan adalah soal akil baligh dan ianya tidak terhad kepada umur sembilan atau 12 tahun.
“Tetapi pihak media dalam laporan mereka menyatakan seolah-olah saya mengatakan perempuan yang berumur sembilan tahun terus boleh berkahwin tanpa mengambil kira soal akil baligh terutamanya di bahagian tajuk laporan berita tersebut.
“Saya membahas dan menolak usul tersebut kerana usul itu berlawanan dengan peruntukan undang-undang Syariah seperti yang terkandung dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-Negeri,” ujarnya.
Sebelum itu, semasa perbahasan yang sama beliau menjelaskan perkahwinan dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza.
Mengikut enakmen Islam, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan kebawah hendaklah mendapat kebenaran wali dan mahkamah, katanya.
Manakala bagi laki-laki bawah umur 18 tahun yang juga ingin melangsungkan perkahwinan perlu mendapat kebenaran mahkamah dan ianya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Ini bermakna, enakmen Islam tidak beri kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan berkahwin di bawah usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki,” katanya lagi.- MalaysiaGazette