KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani julung kali mengadakan Festival Makanan Malaysia 2017 pada 28 September hingga 1 Oktober ini.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, festival itu hasil gabungan hidangan seluruh Malaysia membentuk sebuah pesta makanan bertaraf antarabangsa.
Katanya, festival itu merupakan program sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK2017).
“Ia akan berlangsung di Pameran Expo Pertanian (MAEPS) Serdang sebagai menghargai usaha seluruh komuniti di sebalik industri makanan di negara ini.
“Melalui festival ini, ratusan ribu pelawat yang dijangka berkunjung akan dapat memahami situasi pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan farm to fork,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Terdahulu beliau telah merasmikan pengenalan Festival Makanan Malaysia 2017 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 di sini.
Tambah Ahmad Shabery, festival makanan itu bakal diisi beberapa elemen iaitu penghasilan makanan yang sihat dan selamat, penyediaan makanan melalui demonstrasi makanan oleh tukang masak terkemuka.
“Pameran teknologi makanan misalnya pembungkusan dan hidangan pelbagai juadah dan menu akan dipersembahkan pada September nanti.
“Farms, food, drinks and experience merupakan empat elemen penting kepada perjalanan industri makanan yang akan diterapkan dalam festival ini.
“Selain itu, pameran agroteknologi menerusi makanan inovatif, perkakasan dan kutileri makanan, penyediaan makanan, penyertaan agensi dan penaja akan berada dalam festival ini,” ujarnya lagi.
Justeru katanya, festival makanan itu bakal diisi segmen jualan seminar bengkel dan pertandingan keusahawanan, memasak dan anugerah peladang akan diadakan.
“Konsert juga diadakan untuk menghiburkan ratusan ribu pengunjung juga sebahagian program festival makanan kita ini,” katanya. – MalaysiaGazette