KUALA LUMPUR – Mahkamah Jenayah Khas bagi jenayah seksual kanak-kanak akan ditubuhkan selaras dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah tersebut adalah pelengkap kepada usaha menangani isu jenayah seksual bagi memastikan prosiding dan perbicaraan kes melibatkan kanak-kanak dapat dijalankan dengan lebih cepat dan lancar.
“Sehubungan itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara yang baharu, Tan Sri Md Raus Sharif bagi membincangkan berkenaan penubuhan Mahkamah Jenayah Khas ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, mahkamah khas itu berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak yang sedia ada yang hanya mengendalikan kes-kes di mana pelaku jenayah adalah kanak-kanak.
Katanya, bagi memastikan kelancaran penubuhan Mahkamah Jenayah Khas ini, majistret, hakim dan pendakwa raya akan diberi latihan khusus dalam mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak.
Penggubalan akta berkenaan, kata Azalina, membuktikan kerajaan sentiasa terbuka mendengar pendapat daripada semua pihak bagi memastikan ia digubal secara komprehensif.
Akta itu juga, menurut beliau, mampu melindungi kanak-kanak daripada pelaku jenayah seksual tanpa mengira usia.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di atas penubuhan Task Force serta Timbalan Perdana Menteri selaku Ketua Whip untuk membuka jalan RUU ini dibentang,” katanya.
Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan setelah 20 hari bersidang menyaksikan 13 Rang Undang-Undang diluluskan.
Antaranya Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016.
“Lebih menarik lagi sidang kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam semalam.
“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan proses demokrasi di negara ini sentiasa subur dan berkembang. Saya berharap semua ahli-ahli Parlimen dapat memelihara Dewan yang mulia ini sebagai satu badan legislatif negara yang dihormati,” katanya. – Malaysia Gazette