PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) ditangguh pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan diserah kepada Peguam Negara bagi membuat penelitian semula selain mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar agama.
Menurutnya, tindakan menangguh pindaan Akta 164 adalah bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan.
“Meskipun penelitian sebelum ini telah dilakukan tetapi kerajaan berpendirian pindaan Akta 164 itu harus dilihat semula bagi menentukan ia tidak terus menjadi polemik yang akhirnya membawa kemudaratan kepada negara secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menggesa kerajaan menangguhkan pindaan Akta 164 kerana terkandung pindaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam. – MalaysiaGazette