KUALA LUMPUR- Walaupun berbeza fahaman politik, namun wakil rakyat Barisan Nasional menyambut baik pembentangan usul ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355).
Ahli Parlimen Batang Sadong (BN), Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun berkata, pembentangan tersebut perlu dibuat secara terperinci bagi memudahkan pertimbangan untuk menyokong atau menolak usul tersebut.
“Ia sesuatu yang sangat baik untuk rakyat. Kita perlu jelaskan implikasinya.
“Mungkin mereka perlu meminda bahagian tertentu sahaja, melihat ke dalamnya seterusnya mengukuhkannya.
“Kami dari BN, kita tidak mahu hanya bersetuju atau tidak bersetuju tanpa mengetahui butiran berkenaan RUU itu,” katanya.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Arau (BN), Datuk Seri Shahidan Kasim, meskipun pembentangan pada sesi pagi hari ini berjalan dalam waktu yang singkat namun, penjelasan yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat difahami.
“Pembentangan semua okay, kita sedang tunggu point yang berikutnya. Ucapan daripada Kota Bahru, sekali lagi memberi penjelasan yang jelas tentang kedudukan Rang Undang-Undang ini yang tidak melibatkan pindaan mana-mana akta.
“Keduanya, apa tidak menjejaskan orang bukan Islam. Dan telah diberi contoh, cukup menarik tadi di mana undang-undang kesalahan kehidupan liar lebih tinggi daripada undang-undang akidah yang hanya didenda RM5,000,” katanya di luar Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang (Pas), Idris Ahmad berkata, penjelasan yang dibuat oleh Abdul Hadi sebentar tadi dapat memberi gambaran yang tepat kepada umum berkenaan usul tersebut.
Hal ini kerana selama ini orang ramai hanya mendapat maklumat yang kurang tepat berkenaan usul tersebut.
“Saya rasa ini satu kebaikan. Kita tidak boleh memaksa orang. Kerana untuk mereka nilaikan bagaimana pembentangan dibuat tadi maksudkan dengan pindaan RUU355.
“Selama ini mereka dapat gambaran yang tidak betul daripada musuh-musuh Pas yang tidak setuju dengan pindaan ini.
“Pada kami ini satu kejayaan besar satu mukadimah untuk mesej ini sampaikan maklumat kepada orang ramai.” -MalaysiaGazette