KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat penangguhan Usul RUU355 hari ini seolah-olah mahu mempermainkan semua pihak terutama Pas.
“Jadi, sekarang ini kita macam dimain-mainkan saja. Saya tak tahu apa perasaan Pas, dia boleh bentang boleh sokong tapi tiada keputusan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Justeru, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempersoalkan sama ada RUU355 tersebut akan diluluskan atau hanya sandiwara politik semata-mata.
“Ini satu perkara yang mungkin tak pernah berlaku tetapi setelah rakyat sendiri yang mahu jawapan. Adakah akhirnya akan diluluskan atau sebaliknya?” soalnya.
Muhyiddin dalam masa sama turut mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkenaan penangguhan tersebut.
Penangguhan tanpa memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk memberikan pandangan, merupakan satu bentuk sekatan dalam sistem demokrasi berparlimen, menurut Muhyiddin.
“Sebab penjelasan dibuat Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tadi menyatakan secara terperinci dan saya fikir dia telah dapat bentang dengan baik. Walaupun ada pihak soalkan kandungan, cadangan, hukuman dan sebagainya.
“Bila tak diberi peluang kepada pembangkang dan Ahli Parlimen lain nak suara pandangan ia sekat kebebasan. Saya tak persoal kuasa speaker dia ada hak buat keputusan tapi speaker kena timbang sistem demokrasi Parlimen.
“Kita yang berada dalam dewan harus diberi ruang supaya dapat tahu, kupas dan kaji mendalam apa RUU(355) ini supaya tiada pihak salah tafsir. Bila dah tangguh saya tak tahu apa jadi lepas ni,” katanya.
Hari ini, Dewan Rakyat sekali lagi bertukar menjadi tegang apabila pihak pembangkang mula mempersoalkan hak mereka untuk berhujah berkenaan RUU355.
Namun, menurut kuasa yang diberikan kepada Pandikar membuat keputusan untuk menangguhkan sidang kali ini ke satu tarikh yang lain.- MalaysiaGazette