Home Ekonomi Sengsara selepas bersara, tahap celik kewangan rakyat Malaysia masih rendah

Sengsara selepas bersara, tahap celik kewangan rakyat Malaysia masih rendah

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan bercakap pada sidang media semasa majlis pelancaran Modul Pendidikan Kewangan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan terdapat 64 peratus daripadanya ahlinya yang mempunyai jumlah simpanan sebanyak RM50,000 atau kurang.

Sekiranya ahli berkenaan membelanjakan wang tersebut sebanyak RM950 sebulan ketika bersara, jumlah simpanan berkenaan hanya mampu bertahan kurang daripada empat tahun sedangkan tempoh persaraan boleh menjangkau sehingga 15 tahun dan keatas.

Statistik berkenaan adalah setakat 31 Disember 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengetahui berapakah jumlah simpanan yang diperlukan selepas mereka bersara nanti.

Ini kerana kadar celik kewangan di negara ini masih rendah dan masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang tidak membuat simpanan mencukupi bagi mengekalkan gaya hidup yang mereka inginkan selepas persaraan.

“Kebanyakan orang Malaysia tidak sedar berapa banyak modal atau simpanan yang mereka perlukan untuk mengekalkan gaya hidup yang mereka inginkan.

“Mereka patut menyimpan lebih banyak sekiranya mereka mempunyai gaya hidup yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Jika gaya hidup anda memerlukan anda berbelanja sekurang-kurangnya RM3,000 bagi 20 tahun akan datang, anda perlu sekurang-kurangnya RM600,000 di dalam simpanan.

“Namun, sekiranya anda hanya ada RM228,000 pada usia 55 tahun, ianya mencukupi jika anda hanya mengeluarkan kira-kira RM1,000 sebulan sehingga anda berusia 75 tahun, segala-galanya terserah kepada  gaya hidup dan cara berbelanja anda,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Modul Pengurusan Kewangan “Persaraan, Bermulanya Perjalanan Baharu” di sini hari ini.

Dengan itu, KWSP menurut Shahril Ridza telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan tahap celik kewangan khususnya kepada ahli-ahlinya dengan menyediakan perkhidmatan nasihat persaraan (RAS) secara percuma.

Ini bagi membolehkan ahli-ahlinya membuat perancangan yang sesuai bagi membolehkan mereka hidup dengan selesa selepas persaraan.

Selepas dilancarkan pada tahun 2014, hampir 28,000 ahli telah mendapatkan khidmat nasihat di 18 cawangan KWSP yang menawarkan perkhidmatan RAS.

Ahli-ahli juga boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui telefon mulai pertengahan tahun ini selain penambahan cawangan yang menyediakan perkhidmatan RAS kepada 10 pejabat lagi.

Dijangkakan sebanyak 50 peratus cawangan KWSP seluruh Malaysia akan mempunyai perkhidmatan RAS menjelang 2021.- MalaysiaGazette