Home Utama Sultan Kedah sihat, tular gering tidak benar

Sultan Kedah sihat, tular gering tidak benar

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
ALOR SETAR – Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah menafikan khabar angin yang tersebar di aplikasi WhatsApp dan Facebook kononnya Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sedang gering.

Beliau berkata mesej tersebut disebarkan orang tidak bertanggungjawab yang suka menambah cerita untuk sengaja ditularkan.

“Kenyataan tular itu tidak benar. Alhamdulillah baginda sihat tapi kita mesti sedar umur baginda hampir 90 tahun jadi mungkin tidak sekuat masa dahulu.

“Walaupun begitu, baru-baru ini baginda ada melawat Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA’17) dan perasmian Masjid Padang Lalang di Langkawi,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Kenyataan itu tular bersama-sama dengan satu surat pemakluman dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, meminta semua pegawai daerah memaklumkan kepada imam di daerah masing-masing supaya mengadakan solat hajat selepas selesai solat Jumaat hari ini.

Syed Unan Mashri menjelaskan surat yang dikeluarkan bagi mengadakan sembahyang hajat untuk kesejahteraan dan kesihatan Sultan Kedah itu adalah satu usaha berterusan yang diadakan dari masa ke semasa sejak dahulu lagi.

Ia bagi memohon supaya Allah SWT mengurniakan kesihatan yang berpanjangan kepada Sultan Kedah, katanya.- MalaysiaGazette