KOTA KINABALU – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengingatkan parti pembangkang agar tidak memperkecilkan usaha pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam mempertahan hak dan kepentingan rakyat negeri ini.
Datuk Abdul Rahim Ismail (BN-Pantai Manis) berkata BN Sabah diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mempunyai pendekatan tersendiri bagi menangani perkara itu tanpa perlu bersikap antagonis seperti dilakukan pembangkang.
“Menyelesaikan isu berkaitan hak dan kepentingan rakyat Sabah tidak mungkin dapat dicapai dengan cara konfrontasi atau berprasangka buruk terhadap mana-mana pihak terutamanya dengan pemimpin di peringkat Pusat,” katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata pada masa ini, terdapat pihak atau individu tertentu giat mengadakan ceramah untuk menyampaikan interpretasi mengenai isu 20 perkara, Perjanjian Malaysia 1963 dan perkara berkaitan.
“Kebetulan pula interpretasi dan hujah mereka sampaikan belum pernah dicabar. Saya tidak menyatakan hujah mereka tidak tepat dan tidak berasas, namun hujah mereka perlu mendapat pandangan atau ulasan daripada pakar perundangan untuk disahkan,” katanya.
Abdul Rahim berkata pada masa ini, pembangkang dilihat obses memainkan isu kononnya Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia.
“Pembangkang mungkin teruja memainkan isu berkenaan kerana mahu mewujudkan persepsi bahawa kemiskinan hanya layak diwarisi oleh orang-orang miskin.
“Ia berbeza dengan pendekatan kerajaan BN yang berpendapat kemiskinan bukan diwarisi oleh sesiapa, dan golongan yang tidak berkemampuan sepatutnya dibantu supaya tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negera,” katanya.
Beliau berkata kerajaan BN Sabah di bawah pimpinan Musa bersungguh-sungguh untuk menseimbangkan pembangunan sosio-ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar melalui program seperti Geran Komunal dan Mini Estet Sejahtera.- MalaysiaGazette