Home Ekonomi ECER tarik pelaburan swasta RM101.4 bilion

ECER tarik pelaburan swasta RM101.4 bilion

Najib Razak menyampaikan trofi dan replika cek bernilai RM5,000 kepada Latif Sohor (dua dari kanan) yang diiringi isterinya Noraini Awaludin (kanan) pada Majlis Anugerah Usahawan Gemilang Entrepreneur ECER 2017 di Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan swasta berjumlah RM101.4 bilion setakat ini.

Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) berkata, pelaburan swasta itu telah mewujudkan 140,000 peluang pekerjaan.

Pelaburan swasta tersebut, katanya, merupakan 92 peratus daripada sasaran RM110 bilion pelaburan ECER menjelang 2020.

“Kira-kira 73 peratus daripada pekerjaan tersebut merupakan jawatan bagi pekerja-pekerja berkemahiran termasuk bidang teknikal dan pengurusan yang mencerminkan peluang yang kian meningkat bagi bakat-bakat tempatan memperolehi pekerjaan berpendapatan tinggi dengan lebih baik,” kata ECER dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Transformasi sosioekonomi yang diperoleh daripada ECER ini juga telah membolehkan pembangunan yang lebih seimbang dan bersepadu yang merentasi kawasan-kawasan bandar dan pedalaman di wilayah ini.

“Lebih 24,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana (IKS) baharu telah diwujudkan di wilayah ini yang telah menjana lebih 36,000 pekerjaan untuk rakyat termasuklah di pekan-pekan kecil,” menurut ECER dalam satu kenyataan sempena Mensyuarat Majlis Pembangunan ECER di sini hari ini.

Mesyuarat Majlis Pembangunan ECER dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Rahman.

Dalam pada itu, Najib turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Usahawan Gemilang ECER 2017 di pejabatnya hari ini.

Sejumlah 19 usahawan ECER diangkat sebagai usahawan cemerlang yang memberi impak positif terhadap masyarakat setempat dan pembangunan luar bandar.

Julung kali diadakan, ia mengangkat usahawan cemerlang dari pelbagai latar belakang dan bidang keusahawanan.

Bagi Anugerah Usahawan Gemilang entrepreneur ECER dirangkul usahawan ‘Musang King White Coffee’ Roslaili Ariffin dari Kelantan.

Malah produk kopi keluaran beliau kini berjaya menembusi pasaran eksport China di Nanning.

“Saya bermula di peringkat mikro dan bersyukur kerana dengan bimbingan ECER syarikat saya telah berkembang maju sehingga saya dapat menerokai pasaran antarabangsa,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Malah seorang usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU) Latiff Nor Sohor dari Pahang pula diangkat merangkul Anugerah Khas.

Latiff yang mengusahakan kuih baulu tradisional berjaya meraih pendapatan sekitar RM180,000 setiap tahun.

“Dengan bimbingan yang diberikan sepanjang mengikuti Program entrepreneur ECER, saya yakin kualiti produk bahulu Tifaini akan meningkat dan dapat dijual di pasaraya-pasaraya tempatan yang terkemuka,” katanya.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 seorang. -MalaysiaGazette.