Home Dunia Korea Utara ancam guna senjata berkuasa hadapi AS

Korea Utara ancam guna senjata berkuasa hadapi AS

Korea Utara telah menghentikan semua ujian senjata nuklear sejak akhir tahun 2017. foto Agensi

PYONGYANG – Korea Utara berkata, negara itu akan mempertahankan dirinya dengan “senjata berkuasa” yang dimilikinya susulan penempatan pasukan penyerang Tentera Laut Amerika Syarikat di Semenanjung Korea.

Kementerian Luar Korea Utara, yang dipetik oleh agensi berita KCNA berkata, penempatan itu menunjukkan “pergerakan melulu untuk menyerang” telah “mencapai fasa serius”.

Pacific Command Amerika Syarikat berkata, penempatan itu bertujuan untuk mengekalkan kesediaan di rantau tersebut.

Presiden Trump baru-baru ini berkata, Amerika Syarikat bersedia untuk bertindak bersendirian menangani ancaman nuklear Korea Utara.

Pasukan penyerang yang dikenali sebagai Carl Vinson itu membabitkan pesawat udara dan kapal-kapal perang.

“Amerika Syarikat akan bertanggungjawab sepenuhnya bencana akibat tindakan keterlaluannya.

“Kami bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk peperangan yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat,” kata kenyataan Kementerian Luar yang disebut oleh KCNA.

Tegas kenyataan itu, penempatan tentera laut Amerika Syarikat menunjukkan hak Korea Utara untuk membangunkan keupayaan senjata nuklear untuk digunakan dalam pertahanan diri atau dalam serangan awal. – MalaysiaGazette