KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa beliau mempunyai maklumat mengenai individu yang menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan akan mendedahkan nama berkenaan tidak lama lagi.
Malah, Rafizi turut mendakwa individu yang menerima dana daripada 1MDB adalah bekas pemimpin kanan Pas.
“Beliau menjadi jambatan antara UMNO dan Pas,” katanya yang dipetik portal Malaysiakini semalam.
Naib Presiden PKR itu berkata, tindakan individu itu menimbulkan kemarahan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana ingin menjalin hubungan antara partinya dengan Umno.
Malah, individu berkenaan pernah ditegur oleh Nik Aziz dalam beberapa kejadian.
Dalam pada itu, Rafizi berkata beliau terpaksa menangguhkan niatnya untuk mendedahkan nama individu berkenaan sebelum ini namun gagal berbuat demikian selepas isu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) hangat diperkatakan di Dewan Rakyat minggu lalu.
“Selepas ini, jika saya dedahkan individu itu, rakyat akan lebih memahami,” katanya lagi.
Minggu lalu, Rafizi membuat kejutan apabila mendedahkan terdapat individu yang rapat dengan Pas menerima dana daripada akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dengan itu, Rafizi mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengulas dakwaannya.
Dakwaan Rafizi itu dibuat pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat minggu lalu selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan pindaan RUU355 ang dibawa Hadi. -MalaysiaGazette.