KUALA LUMPUR – “Saya akan jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai pelantikan ini,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengulas pelantikannya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.
Katanya, pertemuan itu adalah untuk membincangkan mengenai tugasan yang akan dipikulnya di kementerian baharu.
“Sudah tentu saya akan bertemu (Najib) kerana saya baru saja dimaklumkan pelantikan ini.
“Saya perlu bincang apa bidang tugas dan tanggungjawab yang akan dijalankan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat antara Menteri Pertahanan dan Ketua Setiausaha Muslim World League yang juga Penasihat kepada Arab Saudi, Abdul Kareem Al-Issa di Bilik Bunga Raya, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Pada masa sama, Hishammuddin berharap pelantikan itu tidak dipolitikkan mana-mana pihak kerana ada sebab Perdana Menteri mewujudkan jawatan baharu.
Dalam kenyataan di Putrajaya, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai menteri itu berkuatkuasa hari ini, dan Naib Presiden UMNO itu kekal sebagai Menteri Pertahanan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam responnya berkata, Hishammuddin mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dan menyokong dengan pelantikan itu.
“Pelantikan ini sesuai dan saya yakin beliau dapat membantu Perdana Menteri dalam misi dan tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan juga tugas tertentu yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan,” Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata. – MalaysiaGazette