Home Ekonomi BNM perkenal langkah perluas pasaran kewangan, jualan singkat MGS

BNM perkenal langkah perluas pasaran kewangan, jualan singkat MGS

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia mengumumkan beberapa inisiatif yang akan menggalakkan pasaran kewangan yang adil dan berkesan, menambah mudah tunai dalam pasaran bon, membantu aktiviti melindung nilai dan meningkatkan maklumat dan ketelusan pasaran.

Inisiatif itu sebagai menyokong aspirasi untuk menggalakkan pasaran kewangan yang berwibawa, kompetitif dan berdaya tahan.

FMC akan memperkenalkan Prinsip Pasaran Kewangan yang Adil dan Berkesan yang menggariskan lima prinsip universal sebagai panduan, dan juga tunjang untuk menggalakkan fungsi pasaran kewangan yang adil dan berkesan.

Peserta pasaran digalakkan untuk menerima pakai dan menerapkan prinsip-prinsip ini ke dalam amalan dan prinsip dalaman mereka.

Prinsip ini dirumuskan berdasarkan amalan pelbagai piawaian terbaik global dan bertujuan untuk mengekalkan integriti dan kepercayaan dalam pasaran kewangan. Prinsip ini juga mengambil kira perbezaan struktur Malaysia sebagai sebuah pasaran sedang pesat membangun, yang memerlukan pendekatan dan langkah tersendiri dan pada masa yang sama, mengekalkan kestabilan keseluruhan pasaran.

FMC menambah, satu tatakelakuan baharu iaitu Tatakelakuan bagi Pasaran Kewangan Borong Malaysia, juga akan diterbitkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Tatakelakuan ini, yang merupakan semakan dan penambahbaikan terhadap tatakelakuan terdahulu, menggariskan prinsip dan piawaian yang perlu dipatuhi oleh peserta pasaran dan peranan persatuan industri dalam mengekalkan kestabilan dan keadaan pasaran yang teratur.

“Tatakelakuan ini juga meliputi keperluan bagi institusi kewangan untuk mempunyai sistem dan kawalan dalaman yang teguh bagi mengekalkan tahap profesionalisme dan piawaian beretika dalam pasaran kewangan.

“Dengan adanya tatakelakuan baharu ini, Tatakelakuan Pengendali Utama dan Broker dalam Pasaran Borong Wang dan Pertukaran Asing Malaysia yang diterbitkan pada tahun 1994, dimansuhkan,” katanya.

Menurut FMC, bagi membantu penyediaan saluran yang lebih berkesan untuk perlindungan nilai bagi dedahan risiko kadar faedah dan juga mendorong lebih banyak aktiviti perdagangan dan mudah tunai dalam pasaran bon kerajaan sekunder, rangka kerjajualan singkat yang dikawal selia akan dijadikan lebih liberal.

Ini supaya semua pemastautin boleh menyertai aktiviti jualan singkat. Inisiatif ini akan memberikan akses kepada instrumen pengurusan risiko, menambah mudah tunai dalam pasaran bon dan membantu proses penentuan harga yang lebih baik bagi pelabur pemastautin.

Untuk mempertingkatkan mudah tunai dalam Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan mengurangkan jurang penentuan harga antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dengan MGII, sekuriti yang layak untuk transaksi jualan singkat akan diperluas untuk meliputi MGII dengan amaun nominal terkumpul sebanyak sekurang-kurangnya RM2 bilion.

Kriteria kelayakan ini sama seperti rangka kerja MGS yang sedia ada. Satu kertas rundingan akan diterbitkan untuk mendapatkan maklum balas pasaran terhadap cadangan untuk memasukkan MGII dalam aktiviti jualan singkat.

Susulan maklum balas daripada peserta pasaran kewangan, fleksibiliti perlindungan nilai sedia ada yang pasif dan dinamik akan dipermudah dan diselaraskan, dengan pelabur berdaftar akan dibenarkan untuk melindung nilai dedahan mereka sepenuhnya dan menguruskan dedahan mereka secara aktif, termasuk melupuskan kedudukan perlindungan nilai mereka.

FMC berkata, entiti bukan bank berdaftar akan dibenarkan untuk melindung nilai sehingga 100% daripada aset asas mereka dan juga menguruskan dedahan tambahan pertukaran asing (FX) sebanyak 25%.

Selain itu, pemastautin diberikan fleksibiliti untuk menguruskan dedahan risiko FX mereka secara aktif sehingga had agregat kedudukan terbuka bersih sebanyak RM6 juta bagi setiap klien setiap bank, tanpa transaksi asas, akan diperluas untuk meliputi tiga mata wang tambahan, iaitu Paun Sterling (GBP), Euro (EUR) dan Yen Jepun (JPY).

Bagi menyokong inisiatif pembangunan pasaran akan datang yang dinyatakan di atas, infrastruktur pelaporan maklumat dan penyelesaian akan ditambah baik untuk ketelusan yang lebih baik dan membantu pengawasan terhadap pasaran kewangan tempatan, tambah FMC.

Sistem pembayaran bernilai besar iaitu Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS), akan dipertingkatkan untuk melaksanakan akaun sekuriti yang berasingan sehingga tahap pengurus dana.

Katanya, satu Unit Operasi Tempatan (Local Operating Unit, LOU) akan ditubuhkan untuk menerima pakai dan menguruskan Pengenal Pasti Entiti Sah (Legal Entity Identifier, LEI).
Selain itu, sistem pelaporan yang boleh digunakan akan ditambah baik untuk menyepadukan LEI dan membantu pengawasan yang lebih baik di bawah persekitaran pasaran kewangan yang lebih liberal.

Kesemua inisiatif di bawah I – III, akan mula berkuat kuasa pada 2 Mei 2017, manakala penambahbaikan infrastruktur pasaran kewangan yang akan dilaksanakan secara beransur-ansur, dijangka siap dalam tempoh 16 hingga 18 bulan. – MalaysiaGazette