Home Nasional Jong-nam: Peguam tertuduh mohon keterangan 3 warga Korea Utara

Jong-nam: Peguam tertuduh mohon keterangan 3 warga Korea Utara

Gooi Soon Eng (tengah) memberi kenyataan kepada media selepas keluar dari Kompleks Mahkamah Sepang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 APRIL 2017.

SEPANG – Kedua-dua peguam tertuduh kes pembunuhan Kim Jong nam, Siti Aishah dan Doan Thi Huong, memohon untuk mendapatkan bukti daripada pihak berkuasa berhubung sesi keterangan tiga suspek warga Korea Utara kes pembunuhan itu.

“Kedua-dua pihak pembelaan membuat aduan ada beberapa keterangan yang tidak mereka perolehi. Kesemua 112 saksi tidak sepatutnya tidak diberikan kepada pihak pembelaan. Mereka bukan saksi utama.

“Kami mahu keterangan daripada ketiga suspek yang pulang ke Korea Utara,” kata peguam Siti Aishah, Gooi Soon Seng ketika ditemui di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Seksyen Sepang.

Pada 19 Februari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, lima suspek warga Korea Utara telah dikenalpasti terlibat dalam pembunuhan Jong-nam.

Mereka adalah Ri Ji Hyon, 33; Hong Song Hac, 34; O Jong Gil, 55; Ri Jae Nam, 57; dan Ri Ji U, 30; yang turut dikenali sebagai James.

Empat dari suspek berkenaan, Ri Ji Hyon, O Jong Gil, Hong Song Hac dan Ri Jae Nam telah meninggalkan negara dengan laluan udara ke sebuah negara jiran yang tidak dinyatakan.

“Suspek James adalah kekuatan kepada pembelaan kami. Dia memainkan peranan yang penting dalam proses pembelaan kami kepada Siti Aishah. Kedua-dua mereka ini (Siti Aishah dan Doan) adalah kambing hitam,” kata Soon Eng.

Soon Eng berkata, pihaknya juga meminta agar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pelbagai pihak diberikan kepada mereka untuk proses pembelaan.

Antaranya rakaman CCTV di KLCC dimana kedua-dua suspek dipercayai menjalani latihan pembunuhan berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Sepang Harith Syam Mohamad Yasin hari ini menetapkan tarikh 30 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Siti Aisyah dan Doan Thi Huong dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian Jon nam pada 13 Februari lalu di perkarangan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

Jong nam maut selepas kepalanya diserkup dengan cecair beracun yang dikenali sebagai agen saraf VX yang terlarang. -MalaysiaGazette.