Home Dunia Wartawan asing berkumpul di Korea Utara untuk ‘hari besar’

Wartawan asing berkumpul di Korea Utara untuk ‘hari besar’

PYONGYANG – Wartawan asing telah berada di Korea Utara untuk “peristiwa besar dan penting” pada hari ini.

Mereka berada di sana ketika ketegangan semakin tinggi terhadap kemungkinan ujian senjata baru dan kehadiran kumpulan penyerang tentera laut Amerika Syarikat ke Semenanjung Korea.

Kira-kira 200 wartawan asing berada di Pyongyang untuk menyaksikan hari kebangsaan terbesar negara itu yang dipanggil Day of The Sun.

Pegawai-pegawai Korea Utara tidak memberi butiran terperinci tentang sambutan hari besar negara itu.

Ketegangan di Semenjung Korea tercetus pada minggu ini selepas Presiden Donald Trump berkata, beliau tidak akan bertoleransi dengan tindakan Korea Utara dan China diarahkan menyelesaikannya.

Trump telah meminta kumpulan penyerang tentera laut Amerika Syarikat, Carl Vinson supaya ke Semenanjung Korea, yang sepatutnya menghala ke Australia bagi mengekang pelancaran peluru berpandu oleh negara yang dipimpin oleh Kim Jong-un.

Semalam, Korea Utara mengeluarkan amaran akan melakukan serangan nuklear jika Amerika Syarikat melakukan pencerobohan.

Secara teknikalnya, Korea Utara dalam peperangan dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan selepas Perang Korea 1950-53 yang berakhir dengan gencatan senjata dan bukan Perjanjian Perdamaian.

Ahli-ahli pemikir di Washington, 38 North, yang memantau Korea Utara berkata, imej satelit yang diambil pada hari Rabu menunjukkan aktiviti berterusan di sekitar tapak ujian nuklear di Punggye-ri, dekat pantai timur yang menunjukkan mereka telah bersedia untuk ujian baharu.

Pegawai Korea Selatan berkata, tidak ada tanda-tanda baru menunjukkan ujian nuklear Korea Utara akan dibuat tetapi Korea Utara berkata, negara itu dalam keadaan bersedia untuk menjalankan apa-apa ujian pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette