Home Utama Jangan berlagak semasa turun dekati rakyat, pesan perdana menteri

Jangan berlagak semasa turun dekati rakyat, pesan perdana menteri

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – “Jangan action (berlagak), saya benci betul dengan orang yang action.

“Kalau masuk kampung, tak perlu bawa Bentley, Porsche,” pesan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Ketika berucap melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di sini hari ini, beliau berkata, Barisan Nasional mempunyai kekuatan untuk menghadapi pilihan raya tetapi mereka tidak boleh terlalu yakin (over confident) dan tidak boleh berlagak.

Jelasnya, sebagai pemimpin masyarakat, para pemimpin Barisan Nasional kena sentiasa menjaga hati rakyat dan mendekati akar umbi.

“Simplicity is beautiful.

“Makan di gerai apa salahnya. Saya sendiri suka makan di gerai. Rasanya lebih sedap daripada hotel lima bintang,” katanya lagi sambil mengingatkan jentera Barisan Nasional perlu sentiasa akrab dengan masyarakat dan bukan hanya hanya tunjuk muka semasa pilihan raya semakin hampir sahaja.

Tambah beliau, JR Plus yang baharu dilancarkan olehnya hari ini merupakan satu lagi pendekatan baharu jentera Barisan Nasional untuk menghadapi pilihanraya yang mana terdapat silo di antara setiap parti dan sayap parti yang berada di bawah Barisan Nasional.

Jelasnya, ini merupakan strategi yang sama diperkenalkan kerajaan di dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Dulu kita jaga kawasan masing-masing sahaja, orang lain tidak boleh masuk tetapi bagi saya, apa gunanya jika contohnya Wanita dapat maklumat tetapi mereka simpan dan tidak sebarkan kepada sayap-sayap lain untuk diambil tindakan.

“Jangan cakap, aku dapat maklumat ini, jadi ini aku punya.

“Sedangkan sesuatu maklumat itu hanya bermanfaat apabila ada hasil selepas diambil tindakan,” katanya lagi.

Tambah Najib, ikatan di peringkat nasional sudah baik tetapi ianya perlu diperkukuhkan sehingga jentera-jentera di peringkat akar umbi dapat digerakkan dengan jaya.-MalaysiaGazette