Home Politik Pemuda UMNO sokong pelantikan Hishammuddin – Khairy

Pemuda UMNO sokong pelantikan Hishammuddin – Khairy

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyokong pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO itu menyifatkan cubaan melaga-lagakan pimpinan parti itu tidak berasas dan spekulasi mengatakan lantikan itu dibuat untuk berdepan pemilihan parti akan datang adalah tidak tepat sama sekali.

“Semua spekulasi itu, sama ada ya atau bukan spekulasi melibatkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid Hamidi), dan pemilihan UMNO akan datang adalah jelas tidak berasas, kerana kita semua menyokong pelantikan itu.

“Kita perlu pasukan kepimpinan kanan yang kuat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Dalam UMNO kita agak geli hati dengan semua spekulasi dan analisis yang kamu buat,” kata beliau semasa sidang media di kementeriannya hari ini.

Baru-baru ini, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas berkuasa serta merta.

Walaupun dilantik menjawat jawatan itu namun, Hishammuddin masih kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Lantikan menyebabkan blok pembangkang mencipta spekulasi berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette