KUALA LUMPUR – Tuahnya badan. Sudahlah dapat lesen memandu, semuanya percuma pula.
Itulah yang diluahkan oleh sebahagian besar peserta MyPrihatin JPJ apabila Datuk Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa mengumumkan beliau menanggung semua kos penerima lesen memandu percubaan di dalam kawasannya yang berjumlah 330 orang.
Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, sejak awal program itu hendak dianjurkan di Desa Pandan, beliau begitu gembira kawasan itu adalah tempat dia dilahir dan dibesarkan.
Lantaran itu beliau mahu golongan muda di situ yang tidak memiliki lesen diberi peluang tersebut.
“Sebab itu, semasa diusulkan penganjuran program itu, saya minta penganjur mencari sebanyak mungkin mana-mana penunggang motosikal yang tidak berlesen supaya mendaftar.
“Awalnya saya fikir tidak ramai, lantas saya bersetuju untuk menaja kos minimum RM100 yang dikenakan oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) kepada setiap peserta.
“Tidak sangka pulak apabila dapat senarai, sebanyak 483 yang memohon dan 335 berjaya mendapat lesen B2. Memandangkan wakil rakyat sudah janji, kalau tidak ditepati nahas nanti,” katanya sambil berseloroh.
Pada majlis itu, Johari memulangkan semula bayaran sebanyak RM100 yang dibuat oleh setiap peserta kepada JPJ.
Meskipun ada peserta yang gagal, Johari meminta mereka supaya mengambil semula lesen B2.
Para peserta MyPrihatin JPJ Parlimen Titiwangsa itu adalah perintis penerima lesen memandu percubaan B2 di bawah program tersebut yang dikhususkan untuk golongan miskin bandar.
Johari berharap para peserta yang menerima lesen itu dapat memanfaatkan kemudahan tersebut untuk meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing.
Katanya, perkembangan baik ekonomi negara menyebabkan banyak syarikat memerlukan pekerja penghantaran, oleh itu peluang berkenaan perlu direbut oleh masyarakat Malaysia untuk menambah pendapatan.
“Warga asing yang dahulunya bekerja di ladang, kemudian di kilang juga sudah mula melakukan kerja-kerja penghantaran ke rumah-rumah.
“Peluang ini sewajarnya diambil oleh penduduk tempatan. Walaupun dalam golongan B40 hendak tak nak kena cari pendapatan, peluang ada cuma perlu rajin,” katanya.
Beliau juga menasihatkan golongan muda yang sudah memiliki lesen itu agar menunggang motosikal dengan betul dan pastikan ‘kaki berada di bawah (pedal) bukan diangkat’.
“Tunggang betul-betul dengan menggunakan dua roda. Saya perhatikan golongan muda sekarang suka tunggang motosikal dengan roda belakang saja. Itu bahaya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette