Home Utama Ikan naik harga menjelang Ramadan

Ikan naik harga menjelang Ramadan

KUALA LUMPUR – Meskipun ada sebulan lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan namun sudah ada amaran kenaikan harga ikan.

Harga ikan-ikan besar dijangka naik antara 10 hingga 20 peratus sepanjang bulan itu berikutan permintaan yang tinggi.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, Aznam Ali berkata, antara ikan-ikan tersebut ialah ikan siakap, ikan jenahak, ikan merah dan ikan tenggiri serta udang dan sotong.

Katanya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku setiap kali musim perayaan.

“Kenaikan ini bermula dari nelayan, kemudian peraih dan peniaga. Kenaikan harga ini kerana semasa bulan Ramadan ikan-ikan ini menjadi pilihan.

“Ketika berpuasa, sudah menjadi trend masyarakat kita hendak makan sedap apabila berbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, ikan-ikan bersaiz kecil seperti ikan pelaling, ikan mambong, ikan sardin, ikan selar, ikan kerisi tidak banyak berubah.

Harga sotong dan udang serta ketam turut diramal naik berdasarkan saiz.

Pada masa sekarang, katanya, harga sotong dipasarkan antara RM7 hingga RM15 sekilogram manakala udang pula RM20 hingga RM35 sekilogram serta ketam sekitar RM22 sekilogram.

Tambah beliau, daripada pihak persatuan memang sedaya upaya menangani kenaikan harga melampau namun nelayan juga semakin bijak apabila memilih untuk memasarkan ikan kepada peraih untuk mengaut keuntungan.

MGF08042017_BARANGAN RUNCIT BASAH_01

“Macam persatuan sendiri tidak boleh paksa mereka untuk menjual ikan kepada kami. Selalunya mana ada tawaran yang lebih baik, sudah tentu mereka memilihnya,” tambah Aznam.

Bagaimanapun, pengguna tidak boleh menunding jari kepada nelayan sebagai punca kenaikan harga ikan di pasaran memandangkan kehidupan nelayan tidak mewah jika terus menjual hasil tangkapan dengan murah.

“Harga jaring pun sudah naik kepada RM43 sekeping, itu pun bukan boleh bertahan lama. Belum lagi kos penyelenggaran bot yang turut meningkat, oleh itu, nelayan tidak boleh mengekalkan harga lima tahun dulu.

“Taraf kehidupan mereka statik, jadi jika harga ikan kekal murah maka kehidupan mereka bertambah sukar,” jelasnya.

MGF30032017_TINJAUAN PASAR17

Peniaga pasar borong, Mary Lyn (gambar) turut mengakui permintaan ikan-ikan besar mendapat permintaan baik pada bulan puasa berbanding ikan biasa.

“Macam ikan kerapu, ikan bawal, ikan merah, ikan senangin, ikan jenahak memang orang suka beli,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, trend pembelian tidak serancak dua, tiga tahun dulu.

“Dulu customer (pembeli) datang tengok dan beli. Sekarang mereka akan dapatkan ikan yang sama tetapi harga yang lebih murah walaupun saiz ikan lebih kecil.

“Untuk menarik pembeli, saya selalunya akan beli ikan kerapu, ikan bawal, ikan merah, ikan senangin pelbagai saiz. Kalau jual ikan besar sahaja rugi sebab bukan semua customer mahu beli ikan mahal,” ujarnya. – MalaysiaGazette