KUALA LUMPUR – Dr. Zakir Naik hari ini dianugerahkan Bintang Pahlawan Peribumi Perkasa oleh Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai pengiktirafan terhadap pendakwah bebas dalam memartabatkan syiar Islam.
“Anugerah ini tidak membawa apa-apa keuntungan wang ringgit, tetapi ianya sangat memberi makna.
“Oleh yang demikian, PERKASA memberi pengiktirafan melalui anugerah ini kepada Dr. Zakir Naik sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan beliau, misi, dan usahanya untuk Islam,” kata Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.
Menurutnya, anugerah itu juga bagi menunjukkan pertubuhan tersebut tidak pernah menyebar kebencian serta mencetus perbalahan kaum di negara ini.
Terdahulu, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy mempertikaikan keperluan menjemput Zakir menyampaikan kuliahnya di negara ini.
Hindraf terkejut apabila diberitahu Zakir yang sedang disiasat pihak berkuasa India dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Perlis awal tahun ini atas jemputan mufti di negeri itu.
Justeru, Ibrahim mengingatkan supaya pertubuhan berteraskan anutan Hindu itu supaya menghormati serta mengetepikan persepsi negatif mereka terhadap Zakir.
Dalam majlis tersebut juga, Ibrahim yang biasa dilabel sebagai rasis sebelum ini turut memberi amaran kepada mana-mana pertubuhan atau individu bukan Islam termasuk ‘penganut’ Islam liberal supaya berhenti mempolitiikan isu agama di negara ini.
Ia termasuk mempolitikkan isu sensetiviti agama Islam di negara ini yang berkaitan dengan Rang Undang-undang (RUU) 355 serta Akta 164.
“Saya ingin mengingatkan kepada yang bukan Muslim dan Islam liberal supaya menghormati Islam di negara ini.
“Berhenti mempolitikkan Islam dan apa juya yang berkaitan termasuk RUU355 dan Akta 164,” katanya sebagai penutup ucapan.- MalaysiaGazette