KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bahawa sebanyak 263 kawasan lampu trafik di seluruh negara akan dipasangkan dengan Sistem Penguatkuasaan Elektronik (AES).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, apa yang disebarkan dalam media sosial adalah tidak benar kerana JPJ masih meneliti dan memuktamadkan tempat pemasangan AES.
Katanya kepada China Press, JPJ juga perlu berbincang dengan jabatan dan agensi lain berhubung penambahan AES.
Menurutnya lagi, pemasangan AES bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi mahu mendidik orang ramai supaya tidak melanggar peraturan lalu lintas.
Menurut satu senarai lokasi AES yang tersebar melalui media sosial, sebanyak 263 kawasan lampu trafik di seluruh negara akan dipasangkan dengan AES.
Daripadanya, 38 AES akan dipasang di Selangor, 32 di Johor dan masing-masing 26 buah di Kedah dan Perak.
Terengganu akan dilengkapkan dengan 20 AES, masing-masing 18 di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta 16 di Kelantan.
Baki 69 AES dilaporkan akan dipasang di Kuala Lumpur, Labuan, Perlis, Sabah, Sarawak, Pahang, Melaka dan Putrajaya. – MalaysiaGazette