BALING – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Baling di sini apabila lima beradik diberi peluang untuk menatap buat kali terakhir wajah ibu bapa mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar mereka ke sekolah, awal pagi tadi.
Tiga daripada mereka yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Irdina Aliah, 11; Insyirah Aliah, 10; dan Imaninan Aliah, 6; dibawa dalam tiga kenderaan ambulan dari HSAH ke Hospital Baling, manakala Muhamad Adib Mustakim, 8; yang cedera ringan turut berada di situ bersama adik lelakinya berusia lima tahun.
Kesedihan nyata terpancar pada raut wajah lima beradik itu yang menjadi anak yatim piatu sekelip mata apabila kesemua mereka tidak dapat menahan sedih dan menitiskan air mata ketika keluar dari unit forensik di mana jasad ibu bapa mereka yang telah selesai dibedah siasat, diletakkan sementara.
Kemalangan di Kampung Teluk Teduri dekat sini itu berlaku pada 7.15 pagi, ketika mangsa ACP Mohd Noor Mat Ayub, 38, yang merupakan ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Baling menghantar isterinya Suriya Abd Rahman, 37, guru di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri, bersama empat anak mereka yang turut bersekolah di sekolah itu.
Kereta jenis Toyota Passo dinaiki mereka dirempuh sebuah Toyota Hilux dari arah belakang ketika hendak membelok ke simpang kiri, mengakibatkan kenderaaan mangsa melanggar sebuah kereta jenis Honda City dari arah bertentangan dan kedua-dua mangsa mati serta merta di tempat kejadian.
Anak saudara kepada Suriya, Shahrul Azmi Che Nawang, 27, yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu memaklumkan, arwah sedang hamil sebulan lebih dan tinggal di Taman Harmoni yang terletak tiga kilometer dari tempat dia bertugas.
“Arwah emak saudara saya dan suami dia berasal dari Kelantan dan sudah beberapa tahun bertugas di Kedah. Seperti biasa arwah suami dia akan hantar awal pagi ke sekolah dan saya pun tidak sangka kejadian ini boleh berlaku,” katanya.
Guru Besar SK Teluk Teduri, Mat Aris Sulaiman ketika ditemui berkata Suriya yang sudah tiga tahun bertugas di sekolah itu mengajar subjek Bahasa Melayu bagi kelas Darjah Enam dan merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.
“Saya amat terkejut ketika mendengar berita ini dan mengarahkan guru-guru yang berkenaan untuk bergegas ke tempat kejadian untuk membantu apa yang patut memandangkan jarak lokasi kemalangan dengan sekolah hanyalah dua kilometer.
“Kami akan cuba ikhtiar apa yang perlu bersama Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik untuk menguruskan persekolahan empat murid tersebut selepas ini dan mungkin juga mereka ini akan dituntut oleh waris-waris mereka dari Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette