Home Ekonomi Nilai setara ringgit RM4.20 berbanding dolar AS

Nilai setara ringgit RM4.20 berbanding dolar AS

ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan nilai saksama ringgit berdasarkan kepada asas ekonomi semasa berada pada RM4.20 berbanding dolar AS.

Pada 9.03 pagi hari ini, ringgit diniagakan pada 4.4070/4120 berbanding dolar AS, turun daripada 4.4030/4060 yang dicatatkan pada 6 petang Isnin.

Felo Penyelidikan Kanannnya Dr Zulkiply Omar berkata, nilai itu adalah berdasarkan kepada kekukuhan ekonomi dan permintaan terhadap ringgit ketika eksport berkembang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global.

“Bagaimanapun, dagangan di bawah nilai ringgit ketika ini dipengaruhi oleh sentimen yang juga merupakan faktor yang menyebabkan turun naik mata wang.

“Sentimen biasanya mempengaruhi ringgit menerusi aliran modal. Setiap kali sesuatu berlaku, berkaitan ekonomi atau apa juga faktor, sentimen mempengaruhi pelabur dan keputusan mereka untuk menggerak masuk dan keluar modal dari negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Ekonomi Korporat Ke-22 MIER, di Kuala Lumpur, hari ini.

Zulkiply berkata, langkah-langkah Bank Negara Malaysia untuk mengetatkan kawalan dagangan kontrak tanpa serahan (NDF) ringgit dan mengekang aktiviti spekulasi di pasaran luar pesisir pada November tahun lepas, membantu mengurangkan turun naik ringgit.

Pada masa hadapan, beliau berkata, ringgit dijangka bertambah baik sejajar dengan ekonomi global.

“Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menjangka permintaan dunia tahun ini berkembang berbanding tahun lepas.

“Jadi, harapan (kami) adalah, eksport Malaysia akan meningkat dan mempengaruhi permintaan terhadap ringgit, yang seterusnya dijangka bertambah baik,” katanya. – MalaysiaGazette