Home Sukan Melaka United bakal hilang presiden

Melaka United bakal hilang presiden

Datuk Seri Idris Haron

MELAKA – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron memberi bayangan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) sekiranya pasukan itu terus menampilkan prestasi hambar dalam saingan Liga Super musim ini.

Idris berkata beliau kecewa dengan prestasi skuad Melaka United yang menjadi pasukan belasahan, dan menuntut barisan pemain agar segera bangkit untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan liga.

“Saya berasa sedih apabila nasihat saya bagi membantu Melaka United seolah-olah tidak didengari oleh pasukan dan pemain yang terus dibelenggu masalah dalaman sehingga melemahkan seluruh pasukan,” katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah berusaha keras mencari dana untuk pasukan berkenaan, namun ia seperti tidak dihargai kerana pasukan berkenaan masih gagal memperbaiki prestasi mereka dalam saingan Liga Super.

Pasukan Melaka United, yang merupakan pendatang baharu dalam Liga Super musim ini, kini menduduki tangga ke-10 liga apabila sekadar mengutip sembilan mata, hasil dua kemenangan, tiga seri dan lima kali tewas.

Sementara itu, Timbalan Presiden MUSA Datuk Yusuf Mahadi ketika dihubungi berkata persatuan berkenaan akan mengambil teguran Ketua Menteri itu sebagai cabaran bagi memperbaiki prestasi pasukan bagi menghadapi saingan liga akan datang.

“Di pihak pengurusan, kita memerlukan sedikit masa untuk melakukan perubahan kerana masih baru dalam Liga Super,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Presiden MUSA akan melepaskan jawatan kerana kecewa dengan pencapaian pasukan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menggugurkan pemain yang masih gagal memperbaiki prestasi masing-masing.

“Prestasi turun naik pasukan satu perkara biasa, namun MUSA akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada secara holistik, baik di peringkat pengurusan, kejurulatihan mahupun pemain. Berikan kami sedikit masa,” katanya. – MalaysiaGazette