SANTIAGO BERNABEU – Real Madrid mara ke perlawanan separuh akhir liga juara-juara Eropah musim ini apabila menang 4-2 dalam perlawanan timbal balik suku akhir di Santiago Bernabeu pagi tadi.
Gol hatrik Cristiano Ronaldo membantu Los Blancos menundukkan the Bavarian 6-3 secara agregat untuk melangkah ke separuh akhir.
Tuan rumah yang turun dengan kelebihan 2-1 dalam aksi pertama di Allianz Arena minggu lalu seri tanpa jaringan di babak pertama.
Pada babak kedua, Robert Lewandowski meletakkan pelawat di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-53 sebelum Ronaldo mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-76.
Pemain tengah Bayern Arturo Vidal dilayang kad merah selepas menerjah pemain Real Madrid pada minit ke-84 sebelum keluar padang.
Gol sendiri Sergio Ramos pula meletakkan Bayern di hadapan dengan 2-1 (3-3) sebelum perlawanan diheret ke masa tambahan selepas 90 minit pertama.
Real Madrid bangkit menerusi gol pada minit ke-104 dan 109 oleh Ronaldo sebelum Marco Asensio menambah gol keempat perlawanan semalam sebelum juara 11 kali itu mara ke pusingan separuh akhir dengan kemenangan 4-2 (agregat 6-3).
Gol ketiga Ronaldo merupakan gol ke-100 pemain itu dalam pentas Eropah.- MalaysiaGazette