KUALA TERENGGANU – Juara Kierin Dunia, Azizulhasni Awang mendapat penghargaan daripada Kerajaan Terengganu apabila diberi ganjaran sebanyak RM200,000 kerana membawa kebanggaan kepada rakyat negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, daripada jumlah ganjaran yang bakal diberikan, sebanyak RM100,000 dalam bentuk tunai manakala RM100,000 lagi dalam bentuk penajaan latihan.
Menurut beliau, kejayaan anak kelahiran Dungun itu adalah sangat luar biasa dalam arena sukan berbasikal yang turut memberi rangsangan yang bermakna bagi rakyat untuk bersama mencipta ‘cerita kejayaan’.
Beliau mengumumkan demikian dalam majlis sambutan bagi meraikan kejayaan Azizulhasni, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Azizulhasni mencatat sejarah peribadi, juga bagi negeri dan negara setelah muncul sebagai atlet Malaysia pertama merangkul kejuaraaan dunia. – MalaysiaGazette