Home Ekonomi Kru kabin MAB undi sulit tentu wakil kesatuan

Kru kabin MAB undi sulit tentu wakil kesatuan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) bersama Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Kementerian Sumber Manusia telah memulakan satu proses undi sulit yang baharu di syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) mulai semalam sehingga 26 April.

Undi sulit itu bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Proses undi sulit ini melibatkan lebih kurang 1,900 pekerja kru kabin yang mana semua pekerja ini akan mengundi sama ada mahu memilih kesatuan untuk mewakili mereka dalam MAB.

Proses undi sulit pekerja ini adalah satu peraturan di bawah Seksyen 9 APP 1967 yang mana pihak syarikat dan kesatuan akan bekerjasama bagi membenarkan pekerja keluar untuk mengundi pada hari yang ditetapkan.

NUFAM berkata, sejak penubuhan syarikat baharu, MAB belum mengekal tuntutan perjanjian kolektif bersama (CA) dengan pihak syarikat dan proses undi sulit ini akan menjadi penentuan.

Jika pekerja ini memerlukan kesatuan untuk mewakili mereka dalam perjanjian bersama syarikat, maka pekerja ini semua akan turun menyokong proses undi tersebut.

Proses ini pernah dijalankan di syarikat MAS pada 2013 dan NUFAM telah menang dengan undian 63 peratus.

Tetapi atas sebab syarikat nama MAS telah bertukar ke nama baharu iaitu MAB, maka proses ini terpaksa dilakukan semula.

“Sokongan ke atas NUFAM amat memberangsangkan dan kami berharap majoriti pekerja kru kabin akan mengundi pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

NUFAM menambah, undi sulit itu turut akan dilakukan di syarikat penerbangan lain dalam negara pada masa yang terdekat ini.

Seorang kru kabin MAB sedang memasukan kertas undi dalam undi sulit yang dijalankan oleh NUFAM dan Jabatan Perhubungan Perusahaan, di KLIA, semalam.

Seorang kru kabin MAB sedang memasukan kertas undi dalam undi sulit yang dijalankan oleh NUFAM dan Jabatan Perhubungan Perusahaan, di KLIA, semalam.

“Kesatuan ini masih penting bagi pekerja dalam industri penerbangan yang kian berkembang dan hak serta kebajikan pekerja ini harus diberi perlindungan.

“Kita tidak mahu peristiwa seperti pembuangan pekerja MAS dahulu berulang lagi dan kami mengharapkan semua syarikat penerbangan ini akan akur kepada hak dan kemahuan pekerja yang sentiasa memerlukanya,” tambah NUFAM.

Jelasnya, proses penentuan ini amat penting untuk masa depan pekerja dan ahli-ahli.

NUFAM sentiasa akan menyuara dan membangkitkan isu yang berkaitan dengan pekerja dalam industri syarikat penerbangan.

“Menubuhkan sebuah kesatuan amatlah penting di dalam industri penerbangan hari ini memandangkan ramai pekerja ini adalah golongan muda.

“Sehubungan itu, para pekerja ini semua harus diberikan hak perlindungan yang saksama di dalam syarikat penerbangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette