MONACO – Penyerang muda sensasi, Kylian Mbappe terus meningkat nilai dirinya di pasaran apabila terus meledak gol bagi membantu Monaco mencatat kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara.
Kemenangan awal pagi tadi itu menyaksikan kelab dari Perancis itu mara ke separuh akhir dengan agregat 6-3.
Mbappe tidak menunggu lama apabila membuktikan dia penyerang muda paling berbisa ketika ini selepas menjaringkan gol pembukaan tuan rumah di Stade Louis II seawal minit ketiga permainan sebelum Radamel Falcao menggandakan kedudukan pada minit ke-17.
Dortmund cuba bangkit dengan merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi kapten, Marco Reus.
Namun pemain gantian, Valere Germain menamatkan impian pasukan lawan apabila mengesahkan kemenangan yang membawa Monaco ke peringkat empat terakhir buat pertama kali sejak 2004.
Minggu lalu, perlawanan di Dortmund tertangguh sehari susulan serangan bom yang menyaksikan kelab Jerman berkenaan tewas 2-3.
Hadir ke tempat lawan untuk mencipta kejutan, moral pemain Dortmund mula terganggu apabila permainan di Stade Louis II itu terpaksa ditangguhkan selama lima minit.
Keadaan trafik luar biasa dikatakan menjadi punca kepada kejadian berkenaan menerusi laman sosial Twitter badan induk itu, UEFA.
Bos Dortmund, Thomas Tuchel menyifatakan anak buahnya berdepan insiden paling buruk seminggu selepas serangan dan bas mereka tidak dibenarkan bergerak pula di sini ke stadium. – MalaysiaGazette