PUTRAJAYA – Pelan induk atau ‘blueprint’ pembangunan komuniti India merangkumi empat intipati utama untuk mensejahterakan masa depan masyarakat itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Empat intipati utama itu ialah mengenalpasti isu permasalahan asas, kesedaran keperluan dan potensi masa depan anak India, memperbaiki taraf hidup dan dokumentasi isu permasalahan sosial kaum itu.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, satu unit khas dikenali ‘Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India’ yang bertanggungjawab menyelia dan melaksanakan pelan induk itu dicadang diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, unit khas itu akan dianggotai pegawai dan kakitangan awam sebagai pelaksana dan pemimpin tertinggi MIC dalam Kabinet akan memantau kemajuan setiap intipati utama pelan induk tersebut.
Katanya, ia merupakan pelan pembangunan ‘tunggal’ pertama yang bertujuan merubah kehidupan kaum India ke tahap tertinggi.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebelum ini bekas Presiden MIC V. Manickavasagam Pillai dan pihak luar pernah membawa rangka tindakan tetapi gagal direalisasikan ketika itu.
“Saya memberi jaminan ‘blueprint’ atau pelan induk kali ini tidak akan gagal kerana ia satu-satunya pelan pertama diukir sempurna yang dibawa dan direstui oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada taklimat media mengenai pelan induk itu di sini hari ini.
Pelan induk itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sementara itu, Subramaniam menafikan pelan induk itu adalah gimik politik kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
“Ini bukan gimik politik kerajaan BN untuk PRU, kerana setiap isu dalam pelan rangka ini merangkumi cadangan dan pendapat lebih 23 pihak berkepentingan daripada masyarakat India.
“Selain itu sekretariat khas telah dibentuk untuk menyoal selidik awam selain satu jawatankuasa teknikal telah mengkaji isu-isu kritikal secara khusus untuk menyediakan pelan pembangunan ini,” ujarnya.
Justeru katanya, sekretariat yang sedia ada seperti Sekretariat Khas Memperkasa Usahawan India (SEED), Unit Khas Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) akan digabungkan di bawah unit khas itu untuk beroperasi sebagai satu pasukan besar bagi melaksanakan rancangan tersebut. – MalaysiaGazette