Home Sukan Serena Williams hamil 2 bulan

Serena Williams hamil 2 bulan

LONDON – Bintang tenis, Serena Williams mencetuskan spekulasi seolah dia sedang menanti kelahiran anak sulung selepas memaparkan gambarnya di laman sosial dengan tajuk ’20 minggu’.

Gambar yang mula tular di internet menunjukkan Serena mengenakan baju mandi berwarna kuning dengan keadaan perut seperti hamil.

Ini bermakna pemain yang berusia 35 tahun itu sudah pun mengandung ketika menjuarai gelaran ke-23 Grand Slam di Terbuka Australia, pada Januari lalu.

Persatuan Tenis AS yang juga penganjur kepada kejohanan Grand Slam Terbuka AS turut mengucapkan tahniah kepada Serena menerusi Twitter.

“Dia sendiri @serenawilliams menggunakan tajuk mengumumkan dia sedang hamil selama 20 minggu! Tahniah Serena!”, katanya persatuan itu.

Peminat turut memberikan reaksi kagum dengan Serena di laman sosial.

“Serena Williams memenangi gelaran ke-23 Grand Slam di Terbuka Australia ketika hamil”

“Dan dia tidak melepaskan walaupun satu set,” tweet seorang pengikut.

Serena tidak beraksi di Masters Indian Wells dan Miami pada bulan lalu dengan memberi alasan mengalami kecederaan lutut.

Sudahnya, dia kini menghuni ranking kedua dunia dan bertekad untuk merampas kembali gelaran itu daripada bintang Jerman, Angelique Kerber.

Pada Disember lalu, Serena mengumumkan pertunangannya dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian dan berkongsi berita berkenaan di laman sosial Reddit. – MalaysiaGazette