KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengakui era kerajaan mengetahui tentang semua perkara sudah berakhir pada zaman teknologi maklumat yang semakin canggih kini.
Bagaimanapun tidak semestinya ia dijadikan alasan untuk pihak tertentu membuat tuduhan tidak berasas menyerang kerajaan sesuka hati, kata Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, sebarang kritikan perlu bersandarkan kepada fakta dan tidak wajar membuat tuduhan melulu sehingga memberikan kesan buruk kepada negara.
“Ini harapan saya kepada wartawan, kamu tidak perlu bersetuju dengan kerajaan sepanjang masa, tapi tolong, jika kamu tidak setuju mestilah berasaskan fakta dan bukan kerana tuduhan yang tidak berasas.
“Saya rendah diri akui era kerajaan tahu semua perkara sudah berakhir, tapi saya tidak akan terima tuduhan yang tidak berasas,” kata beliau semasa majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 malam ini.
Najib kemudiaan membangkitkan kontroversi semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu dimana kerajaan didakwa membawa masuk warganegara Bangladesh untuk mengundi walhal dakwaan tersebut sama sekali tidak benar.
“Berita palsu juga boleh menyebabkan kesan kepada ekonomi negara kita dan boleh menyebabkan rakyat buat keputusan tertentu berdasarkan sesuatu berita yang palsu seperti yang berlaku pada hari pembuangan undi PRU-13 lalu.
“Berita yang tidak boleh dipercayai sepatutnya, tidak kena pada hukum akalnya, tidak diperiksa sama sekali kebenarannya, tidak ada bukti disokong untuk menyokong kebenaran berita tersebut tapi malangnya bila kebenaran itu timbul ia sudah terlambat dan sudah berlaku,” katanya lagi.
Beliau juga membangkitkan perkara berhubung berita-berita palsu mengenai situasi sebenar negara yang memberikan kesan dimana kerajaan hampir terlepas mendapatkan pelaburan daripada sebuah syarikat berpengkalan di Arab Saudi, Aramco.
Mengenai peranan wartawan, Najib menggesa supaya pengamal media memainkan tanggungjawab dengan penuh beretika bagi membangunkan masyarakat yang bermaklumat.
“Saya berpendapat ketika kita berada pada era pasca kebenaran ini peranan media dan kewartawanan yang bertanggungjawab dan beretika adalah sangat instrumental dalam membangunkan masyarakat yang dikatakan sebagai the inform society sebagaimana kita cita-citakan dalam blue print dasar komunikasi negara yang sedang digubal Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Dalam pada itu, Najib juga berharap supaya masyarakat dapat membezakan antara kaca dan permata dalam mentafsir maklumat yang diperoleh dalam platform media sosial yang mempunyai pengaruh besar ketika ini.
“Kehadiran berita-berita palsu dalam pelbagai platform media sosial yang besar pengikutnya sudah menjadi lumrah, apa yang lebih menyedihkan khalayak yang terdedah kepada berita-berita palsu yang tidak berdasarkan kepada fakta itu menerima secara bulat-bulat apa yang disogokan kepada mereka
“Mereka tidak dapat membezakan antara intan dan kaca, emosi khalayak menewaskan kewarasan mereka, kita tahu kesahihan maklumat yang disebar melalui media sosial boleh diragui, kita tahu blog, Facebook dan laman media sosial tidak semestinya terikat dengan etika konvensional media, malah juga kandungan dalam media sosial bersifat pendapat semata-mata dan pendapat ini tidak semestinya diterima bulat-bulat sebagai satu kebenaran,” katanya.
Bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh, Najib menyeru wartawan menyampaikan kebenaran dan membantu kerajaan dalam membangunkan negara untuk menjadikan negara lebih makmur dan sejahtera.
“Kebenaran itu harus menjadi pegangan kita sebagai rakyat dan untuk rakyat buat keputusan, apakah sebenarnya yang baik unuk mereka, baik untuk masyarakat, baik untuk negara, peranan para wartawan amat penting sekali.
“Bantulah kita untuk bangunkan negara kita untuk menjadikan negara kita lebih makmur, untuk menentukan kesejahteraan rakyat dalam konteks ini kita mempunyai masa depan cerah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette