Friday, November 15, 2024
Home Nasional Fitnah: Najib saman Tony Pua

Fitnah: Najib saman Tony Pua

Tony Pua
Tony Pua

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua atas dakwaan memfitnahnya dalam akaun Facebook beliau melalui video yang dirakam di ruang legar Parlimen.

Najib selaku pihak plaintif menamakan Tony sebagai pihak defendan dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Tony pada 6 April lalu, telah memuat naik rakaman Live Video (video langsung) berdurasi dua minit 21 saat.

Pihak plaintif menyatakan,  video bertajuk BN Govt. Abandons All Bills To Give Precedence To Pas RUU355 Private Member’s Bill di akaun Facebook beliau pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada  6 April lalu, lapor Utusan Online.

Menurut pihak plaintif, perkataan-perkataan tersebut antaranya membawa maksud, beliau telah menyalahgunakan kuasanya dengan memberi arahan kepada Yang di Pertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada Ahli Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) dan mengetepikan rang undang-undang lain.

Perkataan itu selain itu membawa maksud, pihak plaintif telah berkonspirasi dengan Pas untuk memecah undi Melayu di kalangan parti pembangkang dan kononnya telah merompak wang rakyat berkaitan urus niaga 1Malaysia Development Bhd. (1MBD).

Pihak plaintif, sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan daripada pihak defendan untuk ditaksirkan oleh mahkamah.

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini.- MalaysiaGazette