Home Nasional Jangan campuri urusan pemberian PR kepada Zakir Naik – Nasrudin

Jangan campuri urusan pemberian PR kepada Zakir Naik – Nasrudin

S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam diingatkan agar tidak mencampuri urusan pemberian taraf pemastautin tetap (PR) kepada penceramah dan pendakwah Islam antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Subramaniam sepatutnya mengetahui bidang kuasanya dan beliau tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kepentingan umat Islam di negara ini.

“Sebagai seorang menteri juga sepatutnya Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mengetahui dan memahami tatacara yang diguna pakai bagi pemberian taraf pemastautin tetap kepada orang asing di negara ini.

“Mengaitkan Dr. Zakir Naik dengan keganasan dan pencetus ketegangan antara agama adalah suatu tuduhan dan semata-mata andaian yang bukan-bukan oleh Datuk Seri Dr. S. Subramaniam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Subramanian yang juga presiden MIC semalam yang mengatakan Zakir tidak diperlukan di negara ini kerana sumbangan beliau memajukan Islam tidak menguntungkan Malaysia.

Dr Subramaniam berkata, Zakir bukan sekular sebaliknya fundamentalis yang mahu meneruskan agenda pelampau.

Zakir dikehendaki India bagi menjalankan siasatan ke atasnya kerana menyebarkan propaganda keganasan.

Nasrudin berkata, taraf pemastautin tetap bukan hak kepada individu tetapi adalah satu anugerah oleh Kerajaan Malaysia kepada warga asing berdasarkan ciri-ciri tertentu.

“Seseorang itu mempunyai kelulusan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberikan perkhidmatan profesional dan kepakarannya kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara negara yang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette