KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan bekas pemimpin yang sudah tua agar tidak menyentuh urusan pentadbiran kerajaan hari ini.
Menurutnya, bekas pemimpin yang sudah tidak relevan untuk dijadikan rujukan kepada rakyat hari ini, perlu berhenti mengkritik atau mencampuri urusan pentadbiran negara supaya masyarakat lebih menghormatinya.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas bekas atau pemimpin tua yang dimaksudkan, sebaliknya menggambarkan watak tersebut sebagai ‘kitab buruk’.
“Orang muda harus hormat orang lama. Orang lama pun jangan perasan. Zaman mereka sudah berlalu. Sedarlah diri tu.
“Kalau kita sudah jadi kitab buruk, biar duduk diam-diam, jangan campur urusan dan hal-hal orang (pemimpin) sekarang,” katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian pada mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Gerakan Belia 4b Malaysia kali ke- 38 turut mengingatkan pertubuhan itu supaya menjadi tulang belakang kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengingatkan agar aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan itu supaya mengikuti kehendak belia hari ini.
“Aktiviti belia hari ini tidak boleh syok sendiri untuk kepentingan pemimpin atasan saja. Kita patut bungkar dengan program dan citarasa yg relevan dengan keadaan semasa.
“Duit tak jadi masalah, beritahu sahaja. Bagaimanapun wang ringgit bukan ukuran, yang penting komitmen daripada anda semua,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Belia 4B, Mua’Amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berikrar bahawa pertubuhan tersebut akan menyediakan jentera khas bagi membantu memenangkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“Kita dalam Belia 4B sudah membuat persediaan bagi membantu kerajaan mempertahankan kepimpinan sedia ada.
“Kita akan menyediakan tenaga dari seluruh negara untuk itu,” katanya dalam ucapannya.- MalaysiaGazette