Home Politik Gambar intim perlu disiasat, bersihkan imej UMNO – GAUM

Gambar intim perlu disiasat, bersihkan imej UMNO – GAUM

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia, Datuk Zulkarnain Mahdar.foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Gerakan Akar UMNO Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling ke atas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan bekas calon PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud.

Laporan itu berhubung beberapa gambar intim mereka yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan itu dibuat agar pihak polis dapat menyiasat kesahihan gambar intim berkenaan dan dalang sebenar di sebalik penyebarannya di internet.

Beliau berkata, ia sekaligus dapat bukan sahaja dapat membersihkan nama Zairil dan Dyana Sofya bahkan imej UMNO dan BN sendiri yang menjadi sasaran pembangkang dengan menuduh parti kerajaan itu terlibat dalam konspirasi menjatuhkan pemimpin muda DAP itu.

“Kami tampil hari ini membuat satu laporan polis meminta pihak polis menyiasat dan bekerjasama dengan SKMM bagi menyiasat siapa yang menyebarkan gambar tersebut.

“Saya juga cukup yakin, sebenarnya ia bukan datang dari kalangan UMNO, jentera UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling hari ini.

Minggu lalu, gambar intim adegan mesra bercium mirip wajah Zairil dan Dyana tersebar luas di media sosial.

Bagaimanapun Zairil menafikan dirinya lelaki di dalam gambar berhubungan intim dengan seorang wanita di sebuah restoran mewah yang menjadi tular baru-baru ini.

Dyana yang merupakan ahli Jawatankuasa Ekseskutif Pemuda DAP menerusi satu kenyataan tidak mengesahkan dirinya merupakan wanita di dalam gambar tersebut walaubagaimanapun beliau juga tidak menafikannya.

Pembantu Khas kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang itu cuma menganggap penyebaran gambar tersebut sekadar serangan peribadi dan pencerobohan hak privasi individu didalam gambar berkenaan.

Mengulas lanjut, Zulkarnain tidak menolak penyebaran gambar intim itu dipercayai didalangi oleh musuh Zairil sendiri dalam parti pembangkang itu.

“Zairil juga saya fikir ada musuh dalam kalangan DAP sendiri, kena ambil sudut semua, jangan tuduh dan dalam hal ini dia tuduh kita (UMNO).

“Tiada kena mengena dengan UMNO dan BN. Tiada sebab kita nak (sebarkan gambar). Siapa Zairil ini, kita bukan nak untung sesen pun (daripadanya), kalau Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang lain cerita,” ujarnya.

Zulkarnain turut tidak terkejut jika lelaki dan wanita dalam gambar intim itu adalah Zairil dan Dyana Sofya kerana tindak-tanduknya sebelum ini yang menyerang Pas berhubung isu pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

“Tindak tanduk Zairil menyerang undang-undang Islam dan Pas walaupun kita tiada kena mengena dengan Pas, saya tidak terkejut,” katanya lagi.

Beliau juga mahu Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menasihatkan Zairil agar membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar berkenaan.

“Saya juga meminta agar Mat Sabu supaya bagi nasihat sedikit kepada Zairil supaya dia buat laporan polis. Seingat saya yang menggantikan Pas (dalam Pakatan Harapan) sebagai wakil parti beragama Islam adalah Amanah.

“Amanah ini ramai ustaz seperti Mat Sabu dalam banyak perkara, dia boleh beri nasihat dengan Zairil supaya buat laporan polis untuk membersihkan namanya,” kata Zulkarnain.