PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata pembangunan modal insan adalah teras yang disifatkan sebagai “tiang seri” kepada kejayaan negara dan Transformasi Nasional 2015 (TN50).
Beliau berkata modal insan cemerlang, yang dapat dizahirkan menerusi kejayaan dalam bidang pendidikan, juga merupakan penyelesaian kepada usaha kerajaan untuk memastikan setiap keluarga dapat menikmati masa depan yang lebih baik.
“Kalau kita lihat daripada sudut individu, kalau seseorang itu sering mengeluh, mungkin satu daripada faktornya disebabkan tahap pendidikannya yang rendah yang tidak memungkinkan dia menjana pendapatan lebih tinggi.
“Jika tahap pendidikannya rendah, tapi mempunyai kemahiran sederhana, pendapatannya lebih tinggi dan kalau (kemahiran) naik lagi, maka lebih lagilah pendapatan yang boleh diperolehnya,” katanya.
Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Ibu Bapa dan Komuniti Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 dan penyampaian sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Pekan 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Najib menyeru supaya masyarakat sentiasa merebut peluang untuk memajukan diri dan menetapkan cita-cita pada tahap tertinggi serta tidak mudah berpuas hati atau merasa “perjuangan telah selesai” dalam memburu kejayaan.
Perdana Menteri berkata bidang pendidikan bukan hanya bersifat akademik semata-mata, namun pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional juga berupaya untuk meningkatkan pendapatan individu, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh ke peringkat atas.
“Sebagai contoh, orang yang melakukan kimpalan yang biasanya gaji tidak tinggi. Tapi kalau mendapat kemahiran sehingga boleh menjadi tukang kimpal di bawah permukaan laut atau “under water welding”.
“Dia boleh bekerja dalam bidang oil and gas bekerja dengan syarikat subkontraktor Petronas dan boleh dapat gaji antara RM10,000 sehingga RM15,000 sebulan. Ini adalah contoh bagaimana peningkatan kemahiran boleh membantu meningkatkan pendapatan,” katanya.
Najib juga meminta supaya semua lapisan masyarakat agar memainkan peranan aktif dan melibatkan diri dalam agenda memperkasakan pendidikan, merujuk kepada kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat yang melibatkan komuniti dalam proses pembelajaran.
Katanya, kajian itu mendapati penglibatan komuniti membawa impak positif dan memberi manfaat antaranya mengurangkan kadar ponteng, meningkatkan peratusan siap tugasan dan membantu meningkatkan penguasaan gred yang lebih baik.
“Bila hendak mendidik, bukan hanya pengetua dan guru yang terlibat, tetapi ibu bapa malah seluruh komuniti dan pemegang kepentingan yang lain terlibat dalam menentukan kecemerlangan bidang ilmu,” katanya.
Najib juga secara peribadi berkata beliau lebih “gemar” menggunakan istilah pendidikan berbanding pelajaran kerana menyifatkan istilah pendidikan lebih bersifat menyeluruh dan holistik.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Hadiah Pelajar Cemerlang daripada Yayasan Pahang berjumlah RM54,950 kepada 203 pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM 2016 kawasan Parlimen Pekan.