LOS ANGELES – Drama bersiri penyiasatan popular, The X-Files akan dihidupkan kembali menemui peminatnya pada musim luruh ini.
Menurut portal Deadline, drama fiksyen sains yang diterajui Fox Mulder dan Dana Scully itu akan ditayangkan di saluran televisyen Fox dengan 10 episod baharu.
The X-Files menyaksikan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Mulder lakonan David Duchovny dan Scully (Gillian Anderson) menyiasat kes-kes melibatkan entiti asing yang sukar dijelaskan.
Dalam siri reboot itu, watak Mulder dan Scully disatukan semula dan mereka mendapati diri mereka kembali mengejar muslihat kerajaan yang menyembunyikan sesuatu, selain mencari raksasa, objek misteri di langit dan juga anak mereka, William.
Menurut 20th Century Fox Televisiom, siri tersebut berjaya menarik 16 juta penonton.
Siri The X-Files memiliki peminat fanatiknya yang kagum dengan bukan sahaja dua watak utamanya, malah idea tentang kisah misteri yang disembunyikan pihak berkuasa dan kerajaan.
Pembikin drama tersebut, Chris Carter memberitahu Reuters tahun lalu bahawa The X-Files semakin relevan dalam situasi semasa berikutan teori konspirasi yang masih meluas disebut dalam internet, selain tarikan tentang objek terbang seperti UFO. – MalaysiaGazette