KUALA LUMPUR – Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata tidak perlu wujud permusuhan antara beliau dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom walaupun ranking mereka hanya berbeza satu tangga sahaja.
Malah, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ juga tanpa berselindung telah membayangkan atlet berusia 22 tahun itu akan mengambil alih tempatnya selepas bersara dari sukan berbasikal kelak.
“Sudah tentu Shah Firdaus adalah teman latihan yang baik dan pada masa yang sama saya cuba bimbing dia, secara langsung atau tidak langsung supaya suatu hari nanti dia akan mengambil alih tempat saya.
“Saya pun bukan hendak berkayuh selama-lamanya. Ada setengah atlet apabila nampak cabaran mereka akan mula bermusuh tapi bagi saya tidak perlu.
“Macam masa saya dengan Josiah (Ng) dulu. Kita saling bersaing masa latihan dan pertandingan tapi kita kawan ketika di luar, sampai sekarang pun kami masih kawan baik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Berdasarkan ranking terkini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Juara Keirin Dunia di Hong Kong baru-baru ini, kini menghuni tangga keempat dunia berbanding sebelum ini di tangga ke-13, manakala Muhammad Shah Firdaus jatuh satu anak tangga ke tangga kelima.
Katanya, beliau juga mahu melihat Muhammad Shah Firdaus menghasilkan prestasi yang cemerlang pada setiap penampilannya.
“Saya cuba bimbing dia (Shah Firdaus) sebanyak yang boleh. Saya berharap satu hari nanti, dia akan menghasilkan keputusan yang lebih baik daripada saya,” katanya.
Muhammad Shah Firdaus sebelum ini meraih pingat gangsa acara keirin di Kejohanan Asia (ACC) 2017 di India, sementara Azizulhasni sekadar menduduki tempat kesembilan dalam acara yang sama.
Bagaimanapun, ketika di Kejohanan Dunia di Hong Kong baru-baru ini, Muhammad Shah Firdaus yang pertama kali bersaing di kejohanan dunia, gagal mara ke pusingan kedua selepas menamatkan kedudukan di tempat kedua dalam perlumbaan repechage pertama, di belakang pelumba Jerman, Joachim Eilers.- MalaysiaGazette