KUALA LUMPUR: Selepas kontroversi yang ditimbulkan oleh pengacara rancangan Sukan Tak Sentral yang mempersendakan bapa bekas atlet pecut negara, Watson Nyambek, penerbit rancangan tersebut, Primeworks Studios tampil membuat permohonan terbuka.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar berkata, syarikat tersebut akan membuat kajian semula terhadap kaedah dan kerja operasi bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang lagi.
“Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada saudara Watson Nyambek gara-gara mempersendakan nama baik ayah beliau.
“Kami amat menghormati Watson, ayah dan keluarga beliau.
“Watson adalah seorang jaguh pecut negara serta atlet yang telah banyak berjasa mengharumkan nama negara.
“Dengan ini, kami sekali lagi dengan rendah diri ingin memohon maaf di atas kesilapan kami dan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya.
Pemegang rekod kebangsaan 100 meter itu membuat kenyatan hari ini yang beliau sedih dan tersinggung kerana nama mendiang bapanya dipermainkan oleh pengacara sebuah rancangan televisyen.
Beliau menonton sendiri rancangan tersebut dan berang apabila pengacara Sukan Tak Sentral menyamakan bapanya dengan bunyi binatang. – MalaysiaGazette