KUALA LUMPUR – UMNO Pulau Pinang membantah keras hasrat Kerajaan negeri DAP untuk mengenakan Surcaj Pemuliharaan Air (SPA) atas alasan untuk mengurangkan pembaziran air.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyifatkan langkah itu yang diperkenalkan sejak tahun 2010 hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan.
Malangnya, rakyat negeri ini akan terkesan dan terbeban apabila terpaksa menanggung bil air yang melambung tinggi akibat pengenalan surcaj itu.
“Kempen yang dijalankan ini nyata gagal mengurangkan penggunaan air per kapita di Pulau Pinang. Dahulu sudah naik dengan alasan untuk mengurangkan penggunaan air, dan terkini, mereka mahu menaikkan lagi dengan alasan yang sama.
“Tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP mendenda atau mengenakan penalti terhadap rakyat Pulau Pinang dengan mengenakan surcaj, masih tidak berjaya. Ia bagaimanapun berjaya memberi pendapatan tambahan dan seterusnya keuntungan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan kerajaan negeri,” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.
Kenaikan ini adalah kali kedua sejak SPA diperkenalkan pada tahun 2010.
Zainal Abidin juga membidas kerajaan negeri kerana memungkiri janji apabila menaikkan tarif air.
“Dahulu mereka berkali-kali berjanji tidak akan menaikkan tarif air di negeri ini tetapi tarif air dinaikkan sebanyak 16.7 peratus, dua tahun lalu,” katanya.
Berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negeri sebelum ini, tiada kenaikan tarif air dikenakan kepada penduduk selama 15 tahun.
“Rakyat perlu ingat, selama 15 tahun BN memerintah, tidak pernah sekali pun tarif air dinaikkan.
“Bukan sahaja tarif, surcaj juga tidak dikenakan kepada pengguna malah pada waktu itu, PBAPP masih mampu memberikan bekalan air bersih yang berkualiti dan perkhidmatan baik kepada rakyat. Kerajaan Pulau Pinang sepatutnya lebih bertimbang rasa dengan masalah sara hidup yang sedang dihadapi rakyat dan bukannya membebankan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
P. Pinang naikkan surcaj pemuliharaan air