Home Utama Madinah ‘tak sabar’ bentang laporan audit pertama

Madinah ‘tak sabar’ bentang laporan audit pertama

Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad (tengah) ketika hadir pada Program CEO@Fakulti di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2017

GOMBAK – Ketua Audit Negara yang baharu, Tan Sri Madinah Mohamad yang mula bertugas sejak 23 Februari lalu tidak sabar untuk membentangkan laporan audit pertamanya dalam sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata, berbekalkan pengalamannya sebagai bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, beliau yakin tugas itu mampu digalas dengan baik.

“Saya berharap untuk membentangkan laporan pertama saya di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak, hari ini.

Madinah juga tidak melihat satu cabaran kepada beliau susulan pelantikannya sebagai ketua audit negara telah menimbulkan keraguan awam kerana latar belakang politiknya suaminya.

“Semua ini sudah lepas, saya sekarang beri tumpuan penuh kepada tugas saya dan saya ada banyak kerja untuk rakyat,” katanya.

Pelantikan Madinah sebagai wanita pertama dilantik ketua audit negara sebelum ini menerima kritikan hebat kerana pendirian politiknya kepada UMNO.

Tambahan pula, pelantikan Madinah dipertikaikan susulan kelulusan akademiknya tidak mempunyai hubung kait dengan sektor audit.

Mengulas lanjut, Madinah juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tugas penting itu.

“Ia merupakan tugas yang mencabar dan saya mendapat sokongan daripada semua pegawai dalam Jabatan Audit Negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette