Home Ekonomi KDNK Malaysia meningkat sedikit

KDNK Malaysia meningkat sedikit

Suasana orang ramai yang mengambil peluang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama operasi. foto SAFWAN MANSOR, 16 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR –  Ekonomi Malaysia dijangka meningkat sedikit tahun ini dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus disebabkan oleh kelembapan ringgit yang menyokong eksport.

Penasihat Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dan pakar ekonomi yang mengetuai Oxford Ekonomi, Priyanka Kishore berkata, walaupun ekonomi global memulakan tahun 2017 dengan baik namun masih banyak ketidaktentuan.

“Masih belum jelas bagaimana impak pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat serta dasar-dasar perlindungannya terhadap rantau ini dan Malaysia.

“Secara keseluruhannya, perbelanjaan berhemah menjadi kunci utama untuk menghadapi cabaran akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, ia menjangkakan ringgit bergerak sekitar 4.4 hingga 4.5 berbanding dolar Amerika sepanjang tahun ini.

“Tekanan terhadap kemungkinan kadar faedah dinaikkan mula meningkat.

“Ditambah pula dengan lonjakan inflasi akibat harga bahan api dan kos import pada separuh kedua tahun ini.

“Ini membuatkan Bank Negara akan menaikkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini,” katanya lagi.

Laporan tersebut turut memaklumkan bahawa pertumbuhan dalam Asia dijangka baik tetapi berada di bawah paras purata jangka panjangnya iaitu tujuh peratus.

Perkembangan tersebut dipacu oleh permintaan domestik, sejajar dengan trend yang diperhatikan sejak 2011.- MalaysiaGazette