Home Politik Lautan merah dijangka landa sambutan UMNO 71 tahun

Lautan merah dijangka landa sambutan UMNO 71 tahun

Najib Razak bersama Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan UMNO ke 71, Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, Stadium Bukit Jalil akan dibanjiri lautan merah yang akan diadakan secara besar-besaran pada 11 Mei nanti.

Menurut Najib, perhimpunan besar-besaran itu sepatutnya diadakan tahun lalu menandakan sambutan ulangtahun ke-70 UMNO terpaksa ditangguhkan akibat tragedi menyayat hati yang menimpa dua pemimpin UMNO.

“Mesyuarat kali ini banyak memberi tumpuan kepada kejayaan ataupun usaha-usaha menjayakan perhimpunan raksasa pada malam 11 Mei iaitu tarikh ulang tahun UMNO ke 71.

“Kita sedia maklum tahun sudah sepatutnya kita adakan perhimpunan tersebut tetapi kerana tragedi amat menyayat hati yang telah berlaku kepada dua pemimpin UMNO maka kita terpaksa tanguh pada tahun ini.

“Kita juga telah berbincang perkara ini dengan panjang lebar bahawa setiap negeri akan memberi kerjasama dan komitmen untuk menghantar jumlah yang telahpun dipersetujui bersama dan sasaran untuk Stadium Bukit Jalil dibanjiri dengan lautan merah pejuang dan pendokong UMNO kira-kira 100 ribu orang akan tercapai nanti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).

Hadir dalam mesyuarat itu antaranya Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta barisan kepimpinan UMNO antaranya Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Shamsudin.

Mengulas lanjut Najib berkata, beberapa program ilmu turut diadakan memandangkan sambutan ulangtahun itu jatuh pada malam Nisfu Syaaban antaranya ceramah agama, bacaan yassin dan sembahyang berjemaah. – MalaysiaGazette.