Home Utama Langkah tak popular jadikan asas ekonomi negara baik – Najib

Langkah tak popular jadikan asas ekonomi negara baik – Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan anugerah kepada penerima, Mohammad Khairul Nazri Ghazali (kiri) sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah (kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Wira Othman Aziz (dua kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Langkah tidak popular yang dilakukan kerajaan sebelum ini melibatkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadikan asas ekonomi negara hari ini lebih baik meskipun negara kerugian RM35 bilion ekoran harga minyak jatuh merudum.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan tidak sesekali akan mengorbankan kepentingan negara dalam jangka masa panjang dan pendek semata-mata mahu dilihat popular oleh rakyat.

Sebaliknya langkah tepat dan berani adalah lebih diutamakan dalam menjaga kedudukan ekonomi negara, katanya.

“Pembangkang tidak berpijak kepada realiti, mereka boleh janjikan sesuatu semata-mata untuk meraih sokongan, ini kerana kemungkinan besar pembangkang sendiri itu tak mungkin dapat dilakukan kalau mereka mendapat kuasa nanti. Kita tak boleh berbuat demikian.

“Apa yang kita cakap dan yang kita lakukan mestilah berpijak di alam nyata dan mesti bertanggungjawab dengan apa yang kita buat. Kita akan pastikan keputusan yang kita ambil adalah tepat kerana kalau salah, kesannya yang teruk kepada ekonomi dan rakyat,” kata Najib lagi.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016, Kementerian Kewangan hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Mengulas mengenai pengurusan kewangan negara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak tergesa-gesa dalam membelanjakan wang negara.

Malah dengan perlaksanaan GST, kerajaan dijangka akan menerima pendapatan sebanyak RM45bilion tahun ini dan dengan jumlah itu kerajaan boleh menentukan semula perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

“Kita berbelanja dengan penuh berhemah, kalau kerajaan pinjam duit, kita mesti belanjakan kepada benda yang produktif.

“Kita bukan kerajaan yang boros dan sesuka hati berbelanja. Kita lakukan langkah seperti GST yang dikatakan tidak popular tetapi percaya langkah itu amat tepat kepada fiskal negara.

“Bila harga minyak jatuh, kita tidak ‘mengkarak’ kita tidak tersungkur,” katanya.

Justeru Najib yakin dan mahu ekonomi negara menerima lonjakan berganda pada masa akan datang dan menjadikan negara antara 20 negara terbaik ekonomi di dunia menjelang 2050. – Malaysia Gazette