Home Nasional Roboh Ampang Park: IKHLAS akan serah memo bantahan kepada PM

Roboh Ampang Park: IKHLAS akan serah memo bantahan kepada PM

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah bercakap ketika ditemuramah selepas melakukan demonstrasi aman yang membantah keputusan merobohkan pusat membeli belah itu di hadapan Pejabat MRT Corporation, Damansara, Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Sekiranya pengurusan MRT Corporation gagal menyelesaikan tuntutan peniaga yang tidak mahu bangunan Ampang Park dirobohkan jalan terakhir ialah meminta bantuan Perdana Menteri.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya akan cuba bertemu Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara yang sama minggu depan.

Menurutnya, pertemuan dengan Najib merupakan langkah terakhir buatnya yang mewakili seramai 139 pemilik lot Ampang Park setelah pihak MRT Corporation enggan bertemu mereka hari ini.

“Minggu depan kita akan serah memorandum kepada Perdana Menteri kerana projek MRT ini di bawah (bidang kuasa) beliau.

“Beliau (Najib) ada kuasa untuk pertimbangkan walaupun kuasa pengambilan tanah berpihak kepada kerajaan. Namun budi bicara Perdana Menteri diperlukan untuk buat keputusan demi kepentingan semua pihak,” katanya selepas mengadakan demonstrasi secara aman Selamatkan Ampang Park bersama sekumpulan pemilik premis perniagaan terawal di ibu kota itu di dihadapan pejabat MRT Corporation hari ini.

IKHLAS sebelum ini memohon untuk mengadakan pertemuan antara pemilik lot Ampang Park dengan pihak pengurusan MRT sebagaimana yang diarahkan pejabat Perdana Menteri namun ia gagal dipenuhi MRT Corporation.

“Kami mohon supaya mengadakan satu pertemuan dengan semua pemilik lot Ampang Park, kenapa sehingga hari mereka (MRT Corporation) takut nak jumpa kami?

“Ini masalah rakyat, kita perlu selesai segera. Tidak lama lagi pilihan raya, kita tidak mahu sokongan kepada kerajaan terjejas maka IKHLAS memainkan peranan bukan untuk bantu pemilik lot Ampang Park sahaja, kami nak bantu kerajaan sekali.

“Jangan disebabkan isu MRT ini, rakyat tidak akan sokong kerajaan. Sehingga hari ini kita telah kutip 20,000 tandatangan dalam kawasan Parlimen Titiwangsa, kalau Ampang Park dirobohkan maka akan kehilangan 20,000 undi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, IKHLAS turut menyerahkan memorandum 10 muka surat itu kepada pegawai Ketua Pengarah Eksekutif MRT Corporation, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Sebelum ini, IKHLAS ada memberikan lima cadangan kepada MRT Corporation bagi tidak merobohkan Ampang Park.

Antara cadangan itu meminta MRT Corp membina laluan pejalan kaki mengkaji semula laluan pengguna LRT Stesen Ampang Park laluan Kelana Jaya.

Sebelum ini, IKHLAS juga telah mengumpul kira-kira 30,000 tandatangan bagi membantah cadangan merobohkan Ampang Park sebelum ia diserahkan kepada Perdana Menteri.

IKHLAS juga mendakwa ada unsur rasuah dalam usaha merobohkan Ampang Park dan pihaknya berkata mempunyai bukti berlaku elemen berkenaan dan sudah memanjangkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia baru-baru ini.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menolak permohonan yang dikemukakan oleh 39 pemilik strata dan penyewa pusat beli-belah Ampang Park berhubung pengambilan tanah bagi projek MRT2.-MalaysiaGazette