Home Nasional Saya terkejut, sedih dan kecewa – Rohani

Saya terkejut, sedih dan kecewa – Rohani

Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius kejadian menimpa Allahyarham Mohd. Taqif Amin Mohd Ghadafi yang meninggal dunia semalam.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah meluahkan rasa terkejut, sedih dan kecewa dengan kejadian yang terjadi ke atas pelajar berusia 11 tahun itu.

Jelasnya beliau, kementerian menerusi agensi di bawahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor telah mengambil langkah sewajarnya sejurus menerima laporan tentang kejadian ini dan bantuan segera telah disalurkan kepada keluarga mangsa.

“Ucapan takziah buat keluarga Allahyarham dan saya berharap agar tabah menghadapi ujian daripada Yang Maha Esa.

“Pada masa sama, JKM turut memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa yang sedang berhadapan situasi sukar ini.

“Kami di kementerian sememangnya memandang serius akan hal ini kerana kejadian melibatkan kanak-kanak, antara kumpulan sasar terbesar KPWKM.

“Justeru, kementerian akan terus memantau perkembangan kes ini dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan berharap siasatan dapat dilakukan segera bagi mencari punca kejadian dan kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rohani turut menyeru ibu bapa dan penjaga supaya lebih prihatin dengan persekitaran kanak-kanak terutamanya bagi keadaan yang mencurigakan untuk dilaporkan terus ke Talian Kasih 15999 atau pihak berwajib sebagai langkah pencegahan awal agar kanak-kanak dilindungi selayaknya.

Mohamad Taqif yang merupakan pelajar Madrasah Tahfiz, Al Jauhar, Kota Tinggi, Johor dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya hari ini meninggal dunia pada pukul 2.05 petang tadi.

Prosedur tesebut terpaksa ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil.

Jumaat lalu, kedua-dua belah kaki allahyarham terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dua minggu lalu selepas didakwa disebat oleh warden asramanya dengan menggunakan getah paip. – MalaysiaGazette