Home Akhbar Cina Tujuh warga China belanja RM12.7 juta beli aset di JB

Tujuh warga China belanja RM12.7 juta beli aset di JB

Aset di Malaysia amat menarik perhatian kerana negara ini mempunyai persekitaran dan iklim yang baik selain kemudahan pendidikan dan perubatan yang serba lengkap.

JOHOR BAHRU – Satu rombongan tujuh orang dari China yang melawat Johor baru-baru ini telah membelanjakan RM12.7 juta untuk membeli aset di Johor Bahru.

Sinchew Daily melaporkan, walaupun kerajaan di Beijing mengawal aliran keluar tunai ke luar negara, tetapi kawalan yang dilakukan gagal “dirasai” oleh para pelabur negara tembok besar itu.

Daripada tujuh orang hartawan China yang menyertai rombongan ke Malaysia dan melabur dalam aset di Johor Bahru, enam daripadanya melawat Johor buat pertama kalinya dan terus berminat untuk membeli aset di negeri di selatan Semenanjung tersebut.

Salah seorang pembeli yang ditemui media, Li Rong, 65, pula merupakan pengunjung kerap ke Malaysia dan dia melawat Johor Bahru buat kali kedua. Warganegara China itu telah menghabiskan RM2 juta untuk membeli satu unit hartanah di Forest City.

Katanya, walaupun Beijing mengawal aliran tunai, tetapi dasar itu tidak memberi impak kepada pelabur jitu sepertinya kerana kawalan yang dikuat kuasa adalah menyasarkan kegiatan pengubahan wang haram.

Menurutnya lagi, aset di Malaysia amat menarik perhatian kerana negara ini mempunyai persekitaran dan iklim yang baik selain kemudahan pendidikan dan perubatan yang serba lengkap.

“Saya memang mempunyai urusan dengan rakyat Malaysia dan saya berasa negara ini elok.

“Kaum Cina di sini juga memelihara adat tradisi dengan elok. China sebaliknya telah kehilangan sebahagian adat mereka dalam Revolusi Kebudayaan yang mengambil tempat,” katanya.

Exco Johor, Datuk Tee Siew Keong berkata, Johor Bahru menerima kunjungan rombongan pelbagai saiz dari China hampir setiap minggu sejak Januari lalu.

Katanya, keadaan itu menunjukkan pasaran Johor telah mencuri perhatian dunia luar.