KUALA LUMPUR – Menginjak usia 38 tahun, penyanyi dangdut Ani Mayuni mengakui dia lebih selesa untuk mengekalkan raut wajahnya dengan cara semula jadi.
Bagi ibu beranak tiga itu, dia hanya mengamalkan jamu dan makanan tambahan vitamin sejak zaman anak dara lagi.
Jelasnya, dia belum terfikir untuk mengikut jejak rakan-rakan artis yang sebaya usia untuk melakukan pelbagai rawatan wajah bagi kekal muda dan cantik.
Ani atau nama penuhnya Aishah An Nur Osman berkata, beliau tidak berani melakukan perkara sedemikian kerana ia perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.
“Saya akui masih jahil dan takut untuk mati untuk menjawab benda-benda yang saya buat. Jadi saya akan elak daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama.
“Saya tidak pernah buat suntikan Botox atau pembedahan wajah semata-mata untuk kelihatan cantik.
“Bagi saya, wajah saya sekarang sudah pun cukup cantik dan jika saya buat benda yang sama, wajah saya nanti sama sahaja dengan orang lain,” katanya ketawa.
Ani temui pada sidang media majlis reviu Ramadan Citarasa Pantai Timur oleh Hotel Royal Kuala Lumpur (Hotel Royal) di sini baru-baru ini.
Turut hadir, dua tetamu kehormat iaitu Puan Sri Tengku Elena Tengku Kamarulzaman dan Tan Sri Yen Yen.
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Ani bakal bergandingan dengan Kelly Azman untuk membuat persembahan di hotel tersebut.
Ani berkata, dia dan Kelly yang sudah empat tahun bergandingan akan menyanyikan lagu-lagu bersesuaian dengan bulan mulia itu ketika menghiburkan tetamu sebelum dan selepas berbuka puasa di hotel berkenaan.
Sementara itu, promosi tempahan awal bufet ditawarkan serendah RM60 sehingga 27 Mei sebelum kembali ke harga biasa iaitu RM85.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Qistina Wong di talian 03-21486888. – MalaysiaGazette