Home Utama Benjy mengaku jual dadah biayai rawatan ibu

Benjy mengaku jual dadah biayai rawatan ibu

Benjy ketika ditahan kerana menyeludup dadah ke Indonesia April lalu.

MEDAN – Selepas lebih seminggu menjadi tahanan polis Indonesia atas memiliki dadah, pelakon Benjy sekali lagi menjadi bahan berita pihak media di sana.

Anak seniwati Allahyarhamah Azean Irdawaty itu dikatakan telah pengakuan dia pernah menjual dadah kerana mencari wang bagi membiayai kos perubatan kanser ibunya.

“Pernah, enggak racik sendiri untuk pakai, tetapi untuk biayai (pengobatan) kanker (barah) ibu saya. Anak jantan mana boleh lihat ibunya sakit,” kata Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim seperti yang dipetik portal Merdeka.com.

Seperti yang diketahui umum, Azean yang merupakan pelakon tersohor telah kembali ke rahmatullah pada 17 Disember 2013 akibat menghidap kanser.

Sementara itu, pihak berkuasa di sana menjelaskan hasil siasatan mendapati dadah jenis syabu yang disorok Benjy dalam duburnya hanyalah 4.5 gram dan bukan 14 gram seperti dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, buat masa ini tiada lagi bukti menunjukkan Benjy mempunyai kaitan dengan mana-mana rangkaian pengedar dadah di Medan namun siasatan tetap diteruskan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu, belum ada lagi mana-mana pihak keluarga pelakon Kerana Cintaku Saerah itu melawatnya.

Mengikut rekod, Benjy ditahan 20 April lalu selepas pihak polis Indonesia menjumpai dua bungkus syabu dalam duburnya.

Ketika itu, dia baharu sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan, wilayah Sumatera Utara setelah berlepas dari Kuala Lumpur.

Benjy sebelum ini pernah ditahan di Malaysia sebanyak empat kali pada tahun 2015 berkenaan isu dadah.

Antara pencapaiannya dalam industri seni, Benjy pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi drama Hanya Untukmu dalam Anugerah Skrin 2003. – MalaysiaGazette